Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Wisma Yeap Chor Ee yang dianggap sebagai salah satu ikon bandar warisan George Town akan dipajak selama 15 tahun kepada Kluster Sains Pulau Pinang (PCC) untuk dijadikan Kafe Sains Pulau Pinang terbesar di negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, inisiatif terbaru itu diumumkan serentak dengan promosi Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang yang berlangsung pada 15 hingga 16 November lalu di Pusat Pameran Antarabangsa Pulau Pinang (SPICE) dekat Bayan Lepas.
“Pusat ini akan berfungsi sebagai ibu pejabat dan pusat tumpuan untuk Kluster Sains Pulau Pinang bagi memberikan yang terbaik untuk generasi muda Malaysia sebagai mengembangkan inspirasi serta minat inovatif mereka dalam bidang sains,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam pada sidang media di sini baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Sumber Manusia dan Sains, Teknologi & Inovasi turut menyertai majlis tersebut.
Mereka menyaksikan majlis tandatangan sub-pajakan antara Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif PCC, Ooi Peng Ee serta Naib Presiden merangkap Pengurus Besar Keysight Technologies, Shidah Ahmad selaku peneraju utama Kafe Sains Pulau Pinang.
Pemegang Amanah Lembaga Amal dan Wakaf Yeap Chor Ee, Datuk Seri Stephen Yeap, Friiscor Ho (Pengarah Kejuruteraan Motorola), Datuk Yoon Leong Chon (Pengarah Urusan Bizwise Sdn. Bhd.) dan Chang Wing Mow (Ketua Pegawai Komunikasi PDC) turut menyaksikan majlis tersebut.
Difahamkan, PDC telah memajak tingkat bawah Wisma Yeap Chor Ee berkeluasan 12,921 kaki persegi sahaja kepada PCC dengan tidak dikenakan bayaran dalam tempoh 10 tahun pertama, manakala, baki lima tahun berikutnya dikenakan sewa sebanyak RM1 untuk sekaki persegi.
Kafe Sains Pulau Pinang yang bakal dimajukan tersebut terdiri oleh bengkel, ruang pembelajaran kendiri, pustaka makalah sains kontemporari, gerai alatan sains kanak-kanak, ruang pemeran dan forum sains, ruang kafe, ruang cipta inovasi dan sebagainya.
Guan Eng memberitahu, kos operasi Kafe Sains Pulau Pinang sebahagian besarnya dibiayai oleh pihak swasta serta sumbangan beberapa pihak seperti SPA, B Braun, Intel, Perniagaan Wise, Dreamcatcher, Exabytes, Motorola, Minicircuits dan National Instruments.
Kerajaan Negeri melalui PDC pada Jun lepas menandatangani satu perjanjian subpajakan selama 30 tahun Wisma Yeap Chor Ee daripada Wawasan Open University Sdn. Bhd . s er t a memperuntukkan RM5 juta untuk memulihara bangunan warisan itu.
Kerajaan Negeri berhasrat untuk mewujudkan pusat pembangunan multimedia kreatif yang dikenali sebagai Creative Animation Triggers (CAT) di bangunan warisan berkenaan.
PCC yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2009 bagi menghimpunkan ahli akademik serta peneraju industri pembuatan diberi tanggungjawab untuk menghidupkan semula potensi bakat Pulau Pinang dalam bidang sains, teknologi inovatif.
Dalam tempoh lima tahun ini, lebih 51 buah sekolah di negara ini berjaya dihimpunkan untuk mendapat manfaat daripada inisiatif PCC, termasuk dalam bidang inovasi robotik.