Kaji semula garis panduan tindakan penguatkuasaan MBPP, cadang Ahli Majlis

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Azahari Aris mencadangkan supaya dasar dan garis panduan berkaitan tindakan penguatkuasaan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan disemak semula.

Beliau berkata, semakan tersebut perlu bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan berjalan dengan sempurna selain bersesuaian dengan perkembangan semasa.

“Lima hingga 10 tahun lalu, kita jarang lihat masyarakat memperlekehkan tindakan penguatkuasaan oleh pihak Majlis tetapi keadaan ini telah berubah dalam sekelip mata selepas ledakan teknologi maklumat melanda dunia.

“Ada dalam kalangan masyarakat hari ini menggunakan internet atau aplikasi media sosial lain sebagai ‘lesen’ untuk menyatakan pandangan mereka dengan cara yang keterlaluan.

“Oleh itu, pelbagai catatan berbaur kebencian dan kecaman membabitkan perkauman dan agama digarap daripada tindakan penguatkuasaan yang diambil untuk dijadikan modal bagi memperlekehkan pihak MBPP tanpa rasa takut kerana mereka bersembunyi di dunia maya,” katanya semasa membacakan ucapan penangguhan dalam Mesyuarat Majlis Biasa MBPP, di sini pagi tadi.

Ar. Yew Tung Seang semasa mempengerusika Mesyuarat Majlis Biasa dekat Dewan Bandaraya, pagi ini.

Tambahnya lagi, sikap sopan dan toleransi yang cuba ditampilkan oleh anggota penguatkuasa MBPP adakala dianggap sebagai satu kelemahan.

“Justeru, sudah tiba masanya untuk pihak Majlis mengkaji semula dasar dan garis panduan berkaitan dengan tindakan penguatkuasaan dijalankan oleh pihak Majlis agar dapat diperkemaskan lagi sesuai dengan keadaan semasa.

“Tindakan tegas harus diambil terhadap mereka yang melanggar dasar dan garis panduan supaya dapat menjadi pengajaran kepada orang lain,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, beliau juga bersetuju dengan cadangan dilontarkan oleh Azahari bahawa pihak Majlis harus lebih responsif terhadap ledakan di media sosial.

“Kita perlu menjawab (tuduhan dalam media sosial) dengan fakta dan pihak kami mengambil perhatian terhadap perkara ini.

“(Tuduhan dalam media sosial) biasanya tular dengan pantas, oleh itu, kita juga harus bertindak lebih pantas,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI