SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang melihat potensi Sungai Perai sebagai sumber alternatif bekalan air mentah bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa perkara tersebut kini masih dalam peringkat kajian dan dijangka siap pada penghujung Januari 2021.
Menurut beliau, walaupun kapasiti air Sungai Perai tidak mampu memenuhi keperluan rakyat di negeri ini secara keseluruhannya namun ia mampu menjadi sumber bekalan air mentah tambahan bagi Pulau Pinang pada masa akan datang.
“Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) merupakan syarikat pengurusan air terbaik di Malaysia yang sentiasa melihat cabaran pada masa depan.
“Kita ada cabaran besar kerana dengan kelangsungan pembangunan ia secara tidak langsung akan meningkatkan permintaan air, justeru, Pulau Pinang memerlukan air terawat yang sentiasa mencukupi.
“Paling mencabar adalah walaupun kita (Pulau Pinang) mempunyai sistem rawatan air melebihi kapasiti tetapi jika tidak ada bekalan air mentah untuk dirawat, maka ini akan memaksa PBAPP melihat pelan jangka panjang untuk mencari sumber lain selain Sungai Muda,” ucapnya pada program Lawatan ke persisiran Sungai Perai di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) angkat bagi kawasan Seberang Jaya, Nurul Izzah Anwar; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Fahmi Zainol; Pengerusi Persatuan Riadah dan Rekreasi Air Seberang Jaya, Suhaimi Awamng serta beberapa wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri juga sedang berusaha untuk mendapatkan persetujuan Kementerian Air dan Sumber Asli (KASA) bagi projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) sebagai pilihan kedua sumber bekalan air mentah selain Sungai Muda.
“Melalui projek ini, sumber air mentah dari Perak akan disalurkan melalui terowong sehingga masuk ke Pulau Pinang dan di situlah kita (Pulau Pinang) akan membina logi rawatan bagi memastikan bekalan air mencukupi pada masa depan.
“(Dan) sekiranya kedua-dua projek berkenaan gagal maka kita perlu melakukan penyahgaraman air laut tetapi kosnya adalah amat tinggi berbanding rawatan air biasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nurul Izzah dalam ucapannya sebelum itu berharap agar Pihak Persatuan Riadah dan Rekreasi Air Seberang Jaya dapat menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri demi manfaat semua pihak.
“Ini bukan hanya isu pelancongan semata-mata tetapi juga berkaitan dengan bagaimana untuk memberi nilai tambah kepada semua pihak di kawasan ini,” ulasnya.
Terdahulu, Kon Yeow menerima satu memorandum berkaitan Persatuan Riadah dan Rekreasi Seberang Jaya daripada pengerusinya, Suhaimi Awang.
Beliau bersama-sama dif-dif jemputan kemudiannya menaiki bot menelusuri Sungai Perai untuk meninjau keadaan serta permasalahan di sungai berkenaan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : LAW SUUN TING