Kajian projek URC Padang Tembak tidak dapat kelulusan – Exco

Admin
3d5ecb53 4ec0 429f 84cd 8b739bc3ea06 S. Sundarajoo menjelaskan perkara berkaitan semasa sesi penggulungan Exco sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 27 November 2024.

GEORGE TOWN – Kajian bagi projek Pembaharuan Semula Bandar (URC) Padang Tembak tidak dapat dilaksanakan pada tahun 2025 kerana tidak mendapat kelulusan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi dalam senarai projek atau program Pembangunan Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2025 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Pun begitu, Exco Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa (JBPD) akan mengemukakan permohonan rayuan kepada kementerian berkenaan bagi Kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) Padang Tembak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai berkenaan memberitahu perkara tersebut semasa menyampaikan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 27 November 2024.

Terdahulu, ADUN Kebun Bunga, Lee Boon Heng meminta Kerajaan Negeri menjelaskan mengenai status cadangan projek URC Padang Tembak, yang sepatutnya dimulakan pada tahun depan.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB