Kakitangan awam perlu rajin bertanya, tanam sikap kerja berpasukan

Admin

GEORGE TOWN – Sikap rajin bertanya, etika kerja positif dan penanaman semangat berpasukan dalam kalangan penjawat awam merupakan intipati penting dalam menrealisasikan misi Kerajaan Negeri untuk muncul sebagai negeri bertaraf antarabangsa pertama di dalam tempoh terdekat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, di dalam tempoh tiga tahun di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat (PR), Pulau Pinang telah berjaya muncul sebagai negeri yang memimpin pada aspek pelaburan, pemuliharaan alam sekitar, kebajikan dan sosial.

Pada tahun 2010, Pulau Pinang mencatat sejarah tersendiri apabila mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi bernilai RM12,238 juta. Berasaskan pencapaian tersebut, Kerajaan Negeri amat serius untuk menjadikan perkhidmatan awam negeri ini bertaraf antarabangsa dengan penekanan tiga amalan penting yang perlu dipraktikkan oleh penjawat-penjawat awam.

Amalan tersebut adalah, sistem yang betul, etika serta sikap kerja mesti positif dan semangat berpasukan,’’ katanya pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam di sini baru-baru ini.

Bersempena dengan majlis tersebut, turut diadakan adalah upacara angkat sumpah rahsia Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru, Datuk Farizan Darus menggantikan Datuk Zainal Rahim Seman dan Pegawai Kewangan Negeri, Mokhtar Mohd. Jait.

Selain itu, Guan Eng turut memberitahu bahawa seseorang penjawat awam juga perlu bersedia untuk belajar dan mendengar pendapat serta idea-idea orang lain bagi menambah pengetahuan sedia ada.

Jangan takut untuk tunjukkan yang kita tidak tahu. Sekiranya tidak tahu akui tidak tahu dan belajar bagi membolehkan kejayaan dikecapi bersama. Jangan pula, tidak tahu dan buat tahu sehingga memudaratkan semua,’’ tegas beliau sambil menambah bahawa sebuah kerajaan yang baik adalah sebuah kerajaan yang mendengar suara rakyat sebagaimana dipraktikkan oleh PR kini.