‘Kalau tak jahanam, tak pandai’, perlu berani buat silap, rahsia sentuhan ‘Doktor Gitar’

photo 2024 10 02 15 42 46

LEGASI darah seni yang mengalir dalam figura bergelar ‘Doktor Gitar’ atau nama sebenar, ISHAMUDIN AHMAD NAINA MERICAN, 51, digunakan sepenuhnya dalam mencapai kerjayanya di samping minat mendalam terhadap alat muzik bertali tersebut.

Atas bakat seni dan mengenali gitar, Ishamudin atau lebih senang disapa sebagai Abang Din membuka sebuah premis membaiki gitar, Jammers Jamm Studio and Guitar Workshop, dekat Sungai Dua berhadapan pintu utama Universiti Sains Malaysia (USM).

“Kali pertama petik dan minat gitar pada usia 15 tahun, minat dalam seni muzik itu mungkin daripada arwah datuk yang juga seorang pemain viola dan pernah menganggotai kugiran di bawah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Arwah bapa juga seorang artis boria, jadi gabung semua sekali, terdedah sejak kecil lagi dalam seni muzik walaupun pada mulanya hanya sekadar suka-suka.

“Peringkat awal memang ibu bapa pun tidak berapa setuju tetapi bukanlah tahap menentang, cuma tidak galakkan, memandangkan perkara ini bukan sesuatu yang salah, jadi saya teruskan,” ujar Abang Din ketika menerima kunjungan wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar DARWINA MOHD. DAUD di studio beliau pagi tadi.

photo 2024 10 02 15 42 59 (3)

Bakat seni Abang Din turut diterjemahkan melalui penubuhan kugiran yang diberi nama ‘Dayana’.

 

Buletin Mutiara difahamkan, anggota kumpulan Dayana adalah antara pelopor kepada penubuhan kumpulan Data yang popular dengan lagu Permaisuri.

 

Namun nasib tidak menyebelahi Abang Din kerana ketika uji bakat diadakan ketika itu, beliau kurang seminggu untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selepas menamatkan zaman persekolahan, Abang Din memulakan kerjaya sebagai penjual burger lebih 10 tahun sebelum menukar kerjaya menjadi mekanik kereta.

 

“Saya tidak teruskan berniaga burger sebab susah nak dapat jodoh, mana ada anak dara mahu lelaki yang jual burger dahulu.

 

“Jadi saya nekad mahu cari perempuan kaya pula selepas kerja sebagai mekanik, sebab perempuan mana tahu baiki kereta,” seloroh beliau dengan perwatakan bersahaja.

Setelah 18 tahun berlalu (2006), dengan berbekalkan modal yang ada Abang Din merealisasikan Jammers Jamm Studio and Guitar Workshop, kedai baiki gitar pertama di kawasan utara Semenanjung Malaysia di Sungai Gelugor, ketika itu.

photo 2024 10 02 15 42 59 (2)

“Saya nampak peluang ini sebab gitar pun macam kereta, sampai masa kena servis, ada bahagian perlu diganti agar bunyi sedap dan pemainnya selesa.

 

“Tambahan dalam gitar ada bahagian elektronik yang perlu dijaga, sebelum (gitar) rosak kita perlu tukar alatan atau bahagian-bahagian tertentu.

“Antara guru yang pernah saya tuntut ilmu (mengenai gitar) adalah Allahyarham Din kumpulan Crosstown, itu pun cuma 30 peratus sebelum dia meninggal dunia, selebihnya terpaksa belajar daripada internet tetapi masa itu internet pun terhad,” cerita bapa kepada dua cahaya mata itu lagi.

photo 2024 10 02 15 42 58 (1)

Secara peribadi, Abang Din menyimpan tujuh buah koleksi gitar.

 

Apa yang lebih menarik, salah satu gitar tersebut adalah sebuah gitar hitam kesayangan buatan tangannya sendiri.

 

“Saya tidak simpan gitar yang mahal sangat, bila tak mahal saya boleh cari lebih banyak, harga gitar ada yang boleh cecah puluhan ribu, tetapi koleksi saya biasa-biasa sahaja.

“Bermodalkan kira-kira RM1,500 saya mampu buat sebuah gitar mengikut citarasa saya dan ini adalah gitar yang paling saya sayang,” kata anak kelahiran Sungai Nibong itu lagi.

 

Secara sampingan, Abang Din turut menyediakan studio latihan dan bilik untuk kegunaan guru yang membuka kelas gitar.

photo 2024 10 02 15 43 01

Ditanya mengenai resipi kejayaan untuk terus kekal dalam industri muzik dan pembaikan gitar, Abang Din berpegang kepada satu ayat pembakar semangat yang ditanam adalah, ‘kalau tak jahanam, tak akan pandai’.

“Kita juga perlu sanggup buat silap, kalau dua-dua ini sanggup, insyaAllah kita akan berjaya, sama juga dalam perniagaan lain yang kita ceburi.

 

“Mesti berani buat silap dan sanggup buat silap untuk berjaya, jangan kedekut ilmu, saya pun gunakan medium media sosial untuk kongsi ilmu dengan orang ramai.

 

“Selain itu kita mesti buat kerja sehingga pelanggan berpuas hati, apabila orang hantar gitar, kita anggap ia milik kita sendiri, ada jiwa untuk baiki agar pelanggan puas hati, gitar pun dengar bunyi sedap,” katanya yang turut berbakat bermain papan nada atau lebih dikenali sebagai keyboard.