Kampung Permatang Nibong dipilih sebagai model pembangunan ‘Circular Economy’

PERMATANG PASIR – Pasca pandemik COVID-19, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan memberi tumpuan pada pelaksanaan program ekonomi pusingan (circular economy) serta kerja-kerja pengkomposan sisa akhir demi meningkatkan lagi pendapatan sampingan isi rumah rakyat.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu perkara itu selepas menyempurnakan acara pemberian anak pokok roselle dan bekas pembiakan lalat ‘askar hitam’ (BSF) kepada penduduk lokal di Kampung Permatang Nibong di sini pada 1 November 2020.

“Kampung Permatang Nibong telah dipilih sebagai contoh (model pembangunan program ekonomi pusingan ini).

“(Dan), saya akan mengumumkan Permatang Nibong sebagai ‘Kampung Circular Economy’ pada Januari 2021,” jelasnya kepada pemberita di Dewan Orang Ramai Permatang Nibong di sini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dekan Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif bagi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Che Zalina Zulkifli; Pengasas Yenher Biotech Sdn. Bhd., Dr. Tan Yi Jing; Pengerusi Koperasi Lestari Alam Sekitar Seberang Perai Berhad serta para penduduk lokal Kampung Permatang Nibong kerana menjadi ‘rakan strategik baharu’ MBSP bagi merealisasikan dwi program ekonomi desa tersebut.

“Kita (MBSP) akan melatih mereka (penduduk Kampung Permatang Nibong yang menyertai program ini) untuk menternak larva Black Soldier Fly (BSF).

“Sekilogram larva (BSF) ini boleh dijual untuk makanan ternakan ayam dan burung dengan harga RM2, selain (amalan) pengkomposan (sisa pepejal menjadi baja).

“Dijangkakan untuk 10 penduduk yang mengambil bahagian (dalam dwi program ini) akan menghasilkan 60 kilogram (kg) larva…menyamai RM120 (pendapatan sampingan baharu),” jelasnya lagi.

Menurutnya lagi, dwi program tersebut adalah projek perintis sebelum diperluas ke kampung-kampung terpilih yang lain.

“Ini, peringkat permulaan, kalau larva-larva yang diternak itu bertambah, maka ia dapat meningkatkan lagi pendapatan isi rumah penduduk kampung pasca COVID-19,” katanya sambil menyifatkan bandar raya Seberang Perai adalah menarik kerana terdiri daripada kawasan bandar dan desa.

Dalam perkembangan berkaitan, MBSP dengan kerjasama sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) dan ejen pelaksana pengurusan sisa Syarikat Al-Ansar Integrated Sdn. Bhd. melaksanakan program pengkomposan sisa organik seperti sayur-sayuran dan buah-buahan rosak di Pasar Awam Kepala Batas, untuk dijadikan makanan larva lalat baka BSF.

Sambil menyifatkan program tersebut sebagai ekonomi pusingan, beliau memberitahu bahawa larva tersebut kemudiannya akan dikitar semula menjadi makanan ternakan seperti ayam, ikan dan sebagainya sementara, sisa baki lain akan dijadikan baja organik untuk aktiviti pertanian.

Di samping itu, Rozali memberitahu bahawa program tersebut demi menjadikan Seberang Perai sebagai bandar raya natural karbon pada tahun 2030 dan bandar raya sifar karbon pada 2050.

“Bandar raya Seberang Perai telah menentukan hala tuju yang jelas iaitu mensasarkan untuk mengurangkan 50 peratus pelepasan karbon menjelang tahun 2022 iaitu kurangkan penghasilan karbon daripada 8.0 tan setara CO2 per kapita kepada 4.0 tan setara CO2 per kapita,” ujarnya kepada pemberita Buletin Mutiara.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD