PERAI – Seorang kanak-kanak perempuan yang mengalami penyakit Osteogenesis Imperfecta atau tulang rapuh menerima bantuan perubatan daripada Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP).
Khayla Adha Mirza, 9, yang menetap di Permatang Pauh mengalami keadaan tulang rapuh yang menyebabkan fraktur (patah tulang) berulang sehingga menjejaskan pergerakan serta keupayaan fizikalnya secara menyeluruh.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, bantuan perubatan daripada Zakat MAINPP itu membolehkan Khayla mendapatkan rawatan bersesuaian.
“Penyakit ini dijangka berterusan dan berpotensi mengakibatkan ketidakupayaan yang lebih serius sekiranya rawatan berterusan tidak dilaksanakan.
“Ini merupakan ikhtiar kami untuk meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga serta menyuntik semangat dan sinar harapan buat adik Khayla dan keluarganya.
“Bantuan perubatan ini diharap dapat membantu adik Khayla menikmati kehidupan yang lebih berkualiti, setara dengan kanak-kanak lain seusianya,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyampaian bantuan tersebut dekat Taman Pauh Jaya, di sini pada 21 April lalu.
MOHAMAD Abdul Hamid memberikan sumbangan kepada adik Khayla yang mengalami masalah tulang rapuh.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Zakat MAINPP, Mohamad Kairi Ghazalli serta barisan kepimpinan Zakat MAINPP.
Jelas Mohamad, meskipun menerima rawatan moden termasuk penggunaan ubat-ubatan terkini bagi menguatkan struktur tulang, keadaan Khayla masih tidak dapat dipulihkan sepenuhnya.
Justeru, Mohamad berkata Khayla memerlukan rawatan perubatan regeneratif iaitu satu pendekatan inovatif dalam bidang kesihatan yang melibatkan proses penggantian, kejuruteraan atau regenerasi sel, tisu dan organ bagi memulihkan fungsi fisiologi yang terganggu.
“Difahamkan, terapi Sel Stem sebagai komponen utama dalam rawatan ini diyakini berupaya membantu mengurangkan kadar fraktur (patah tulang), meningkatkan kekuatan tulang dan seterusnya memperbaiki kualiti hidup pesakit secara keseluruhan.
“Rawatan tersebut dijalankan menerusi kaedah infusi intravena iaitu proses kemasukan sel stem secara perlahan dan langsung ke dalam saluran darah.
Mohammad berkata, inisiatif yang digerakkan itu bukan sahaja membawa sinar harapan buat Khayla dan keluarga, malah turut mencerminkan nilai ihsan dan solidariti masyarakat dalam mendokong golongan yang memerlukan, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membina negeri berjiwa rakyat.
“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam mendukung prinsip keadilan sosial dengan menyalurkan bantuan kepada golongan rentan khususnya kanak-kanak yang berdepan cabaran kesihatan yang kompleks.
“Usaha ini mencerminkan iltizam Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada individu yang tercicir daripada arus pembangunan, terutamanya mereka yang memerlukan perhatian dan sokongan berterusan,” katanya.
Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS
Gambar : Pejabat TKM 1