Kapasiti efektif di kesemua empangan kembali meningkat

Admin

GEORGE TOWN – Hujan sejak beberapa hari lalu sedikit sebanyak telah membantu peningkatan kapasiti efektif air mentah di Empangan Teluk Bahang.

 

LENSA Buletin Mutiara sempat merakamkan keadaan di Empangan Teluk Bahang ketika hujan renyai-renyai pagi ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Berhad (PBAHB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Sdn. Bhd., Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa ketika dihubungi berkata, setakat 18 September 2020 Empangan Teluk Bahang mencatatkan kapasiti efektif 19.2 peratus.

 

Jumlah tersebut katanya dilihat meningkat jika dibandingkan kapasiti efektif pada 29 Ogos 2020 iaitu 16.4 peratus sahaja.

 

Selain faktor hujan, peningkatan juga disebabkan oleh pelan kontingensi yang dilakukan oleh PBAPP iaitu pengalihan air mentah dari kawasan tadahan Sungai Pinang ke Empangan Teluk Bahang melalui saluran paip air terawat 450 milimeter sedia ada,” responsnya melalui aplikasi Whatsapp.

 

KAPASITI efektif empangan-empangan utama di Pulau Pinang.

 

Secara keseluruhan, menurut Jaseni terdapat peningkatan kapasiti efektif di kesemua empangan utama yang mana Empangan Air Itam berada pada tahap 33.3 peratus dan Empangan Mengkuang mencatatkan 88.5 peratus sehingga jam 3:00 petang, 18 September 2020.

 

Terdahulu, dalam kenyataan media pada 29 Ogos 2020, Jaseni memaklumkan bahawa pihaknya sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian saluran paip bagi membolehkan pengalihan air mentah dari kawasan tadahan Sungai Pinang ke Empangan Teluk Bahang. Tindakan ini diambil bagi memastikan kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang yang rendah mampu bertahan sehingga musim hujan tiba.

 

Pada ketika itu, kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang hanya mencukupi untuk bekalan selama 51 hari tanpa hujan. Sekiranya terdapat hujan di kawasan tadahan air empangan maka bilangan hari bekalan akan meningkat secara automatik.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD