Kapasiti efektif Empangan Air Itam 30.3 peratus, tidak perlu panik, nasihat PBAPP

Admin
38098622 3be3 4bec 8ac3 4a66787637fc TINJAUAN lapangan yang dilakukan oleh jurugambar Buletin Mutiara semalam (16 April 2024) mendapati kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah 30.3 peratus.

PERBADANAN Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berharap kapasiti efektif 30.3 peratus paras air yang direkodkan semalam di Empangan Air Itam tidak mengakibatkan semua pihak berkepentingan berada dalam keadaan panik.

Ini kerana, menurut laporan cuaca antarabangsa, akan berlaku peralihan daripada fenomena El Niño panas dan kering kepada fenomena La Niña basah serta hujan tidak lama lagi.

4423a3bf 00bc 4b97 a2d8 330471699dc3“Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan taburan hujan yang lebih tinggi di Pulau Pinang pada bulan April hingga Julai 2024, dengan ketibaan musim peralihan monsun,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan dalam satu kenyataan bertulis bertarikh 16 April 2024.

Menurutnya, syarikat operator air negeri tersebut sejak bulan Februari lepas lagi melaksanakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) dengan mengurangkan purata pengeluaran air mentah harian dari empangan tersebut.

e60db466 941b 46b3 b728 d57aaabe3a52Difahamkan di Empangan Air Itam, terdapat tiga kategori pelepasan air mentah yang mana semasa cuaca tidak kering secara purata biasanya berjumlah 44 juta liter sehari (JLH) dilepaskan berbanding semasa kawalan cuaca kering (22 JLH) dan AIDAP 2024 (11 JLH).

Mengulas lanjut, Pathmanathan menjelaskan bahawa PBAPP mengepam air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke kawasan perkhidmatan Air Itam untuk “mengganti” kekurangan 33 JLH dalam pelepasan harian dari Empangan Air Itam.

“AIDAP 2024 telah dilaksanakan mulai 5 Februari 2024, apabila kapasiti efektif Empangan Air Itam berada pada 32.8 peratus (dan) semalam, kapasiti efektif empangan itu adalah 30.3 peratus,” katanya.

Penjelasan itu sekali gus menjawab beberapa isu berkaitan yang dibangkitkan oleh wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, LAW SUUN TING dalam tinjauan lapangan sejak pagi kelmarin.

img 8511
K. Pathmanathan

Dengan kapasiti efektif Empangan Air Itam semalam iaitu 30.3 peratus, Pathmanathan memberitahu bahawa durasi AIDAP 2024 sehingga kini adalah 70 hari.

“Hujan di dalam kawasan tadahan air Air Itam adalah 138 milimeter (mm) – rendah – dalam 70 hari (manakala) peratusan penurunan dalam kapasiti efektif 2.5 peratus
Empangan Air Itam.

“Keputusan menunjukkan kapasiti efektif Empangan Air Itam telah menurun sebanyak 2.5 peratus dalam tempoh 70 hari (purata: 0.036% sehari).

“Dalam tempoh masa ini, Pulau Pinang menyambut dua musim perayaan utama apabila cuaca panas dan kering,” ujarnya lagi.

Pada Ahad lepas, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan media memberitahu bahawa taburan hujan semasa dalam bulan April ini adalah sebanyak 20.5 mm sahaja serta mengakibatkan paras air di Empangan Air Itam semasa menyusut pada 30.8 peratus.

Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkenaan turut memberitahu bahawa PBAPP akan meneruskan pelan kontingensi air berkaitan sehingga paras air di Empangan Air Itam kembali ‘pulih’; berada ‘sekurang-kurangnya’ pada kapasiti efektif 32 peratus.

Dalam reaksi spontan kepada pemberita, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut memberitahu bahawa paras air mentah sebanyak 30.8 peratus kapasiti efektif di Empangan Air Itam itu berkemungkinan dapat bertahan dalam 30 hari sahaja.

Pathmanathan menjelaskan bahawa kapasiti efektif 30.8 peratus Empangan Air Itam mampu bertahan dalam tempoh 30 hari sekiranya tanpa hujan langsung.

“Apabila ada hujan di KTA (kawasan tadahan air) Air Itam, ‘bilangan hari’ akan berubah.

“Ia, berdasarkan pelepasan cuaca kering sebanyak 22 JLH. Hari ini, PBAPP melaksanakan AIDAP 2024 dengan pelepasan 11 JLH.

“(Di samping itu,) PBAPP mempunyai pilihan untuk mengetatkan lagi kawalan bekalan air AIDAP untuk mempertahankan baki simpanan empangan untuk jangka masa yang lebih lama,” jelas Pathmanathan lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjelaskan sekali lagi mengenai status ‘amaran’ Empangan Air Itam yang dikeluarkan oleh PBAPP pada 1 Januari 2024 lepas.

“Bagi Empangan Air Itam, PBAPP telah mengoperasikan Empangan Air Itam pada ‘status amaran’ sejak 1 Januari 2024.

“Pada awal tahun ini, kapasiti efektif empangan itu ialah 68.9 peratus, dan bukan 100 peratus.

“Mulai Januari, PBAPP sedar bahawa pelepasan dari empangan ini mesti diuruskan dengan teliti sehingga musim hujan 2024,” katanya.

Pada 5 Februari 2024, dengan bermulanya fenomena El Nino penuh di Pulau Pinang, PBAPP melaksanakan AIDAP 2024 sebagai langkah kontingensi apabila kapasiti efektif empangan menyusut kepada 32.8 peratus.

“Pada pertengahan April 2024, tidak dinafikan kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah rendah iaitu 30.3 peratus,” tambah Pathmanathan.

Walau bagaimanapun, hurainya lagi, PBAPP masih aktif mempertahankan simpanannya yang ada menerusi AIDAP 2024.

“Untuk memastikan kita mempunyai air yang mencukupi di Pulau Pinang, pengguna air (terutamanya pengguna Air Itam) harus mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus pada April, Mei dan Jun 2024,” ujarnya sambil menasihatkan semua pemegang taruh supaya tidak panik dengan isu paras air mentah semasa di Empangan Air Itam.