Kapasiti efektif Empangan Air Itam meningkat, melepasi paras amaran

Admin

PANTAI JEREJAK – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa kapasiti efektif Empangan Air Itam kini telah melepasi paras amaran dengan catatan 52 peratus.

 

 

Menurut beliau, sebelum ini, empangan tersebut pernah berada pada tahap amaran paras kapasiti efektif 40 peratus dan cuma mampu bertahan 40 hari.

 

 

“Saya menerima statistik empangan setiap hari, paras empangan ini (Air Itam) semakin meningkat dan melepasi paras amaran.

 

 

“Sebelum ini, memang ia pernah berada pada paras kapasiti amaran tahap dua (40 peratus) tetapi belum capai tahap kritikal lagi, tetapi sekarang boleh dikatakan telah melepasi tahap amaran satu, tidak lagi merah,” jelasnya dalam sidang media seusai Majlis Perasmian Penang International Halal Expo & Conference (PIHEC) 2022 di sini sebentar tadi.

 

Hadir sama, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain.

 

 

Mengulas mengenai Empangan Teluk Bahang, Kon Yeow menyatakan bahawa kapasiti efektif empangan tersebut kini berada di bawah paras 50 peratus.

 

“Kita tahu Empangan Air Itam adalah lapan kali lebih kecil berbanding Empangan Teluk Bahang, sebab itu ia (Teluk Bahang) mengambil masa yang lebih masa untuk penuh.

 

 

“Air Itam memang bukan satu ukuran yang tepat, namun pada saya, kalau Air Itam pun kita tidak mampu kekalkan pada paras baik, maka pada keseluruhannya tidak normal.

 

“(Dan) di Empangan Mengkuang parasnya sama sebab ia adalah empangan simpanan yang mana pada hari biasa, air tidak akan dilepaskan untuk rawatan, ia hanya digunakan untuk berdepan kecemasan sahaja, justeru, kapasiti paras 88 (peratus), tidak naik atau turun banyak,” ujarnya lanjut yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

 


Ketika ditanya mengenai permohonan untuk melakukan pembenihan awan, Kon Yeow memaklumkan bahawa kenaikan kapasiti efektif paras Empangan Air Itam yang dicatatkan kini merupakan impak daripada usaha pembenihan awan baru-baru ini.

 

 

“Kita akan pantau keadaan, jika ada keperluan, kita akan lihat bagaimana,” katanya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : DARWINA MOHD. DAUD