Karikaturis ‘The Little Mamak’, Azmi Hussin adakan pameran solo pertama 31 Ogos

Admin
whatsapp image 2024 08 28 at 11.31.15

AZMI Hussin atau lebih mesra disapa sebagai Me bakal menganjurkan pameran solo pertamanya bertajuk ‘Cari’ di Hin Bus Depot Exhibition Space bermula pada 31 Ogos sehingga 29 September 2024.

 

Pameran yang bakal memukau pengunjung dengan keunikan hasil karya karikatur anak seni tempatan serba boleh itu, bakal menampilkan lebih 50 karya sepanjang 11 tahun penglibatannya dalam arena seni lukis.

 

Azmi ketika ditemui berkata, pameran solo itu menjadi titik penting dalam perjalanan seni karikatur sejak lebih sedekad lalu.

 

“Pemilihan tajuk ‘Cari’ itu adalah bersandarkan identiti artis, sebagai contoh Datuk Lat, kartunis tersohor dikenali kerana satu perkara iaitu komik.

 

“(Dan) Me pun memerlukan sesuatu yang lebih fokus, yang lebih menggambarkan identiti Me sebagai karikaturis,” ujarnya.

 

Tidak dapat menyembunyikan perasaan, Me teruja dan amat bersyukur dengan peluang untuk mengadakan pameran solo nanti.

whatsapp image 2024 08 28 at 11.31.30
AZMI Hussin berlatarbelakangkan karya mural yang dihasilkannya.

Menyingkap kembali kisah ketika mula-mula berjinak dengan seni lukis, Me memberitahu bahawa beliau tidak pernah terlintas untuk mengadakan pameran.

 

“Namun, Me syukur sangat, teruja dan gembira semuanya bercampur aduk.

 

“Ingat lagi pada tahun 2014, yang mana ketika itu Mi hadir ke pameran Ernest Zacharevic yang terkenal dengan karya ‘Little Children on a Bicycle’ di sini, di Hin Bus Depot.

 

“(Dan) kemudian ketika pandemik Me pernah adakan perbincangan dengan Ivan Gabriel, ketika itu beliau belum pun menjadi pengurus galeri di Hin Bus Depot.

 

“Selepas itu, apabila Ivan sertai dan menjadi kurator di Hin Bus Depot, beliau mempelawa Me untuk mengadakan pameran di sini.

 

“Me teruja kerana tempat ini (Hin Bus Depot) merupakan tempat paling nostalgik untuk Me dan alhamdulillah Me akan adakan pameran di sini, 31 Ogos nanti.

 

“Jadi, Me harap pameran ini mendapat sambutan kerana setiap ulasan atau pendapat umum (terhadap karya adalah) sangat penting untuk Me.

 

“Inilah peluang berkongsi dan sampaikan mesej kepada orang ramai melalui karya Me baik karikatur mahupun lukisan mural.

 

“Me percaya melalui pameran ini juga, Me akan belajar banyak perkara dan akan menghasilkan lebih banyak karya untuk dikongsikan, bukan sahaja untuk warga Pulau Pinang tetapi juga di luar Pulau Pinang,” katanya yang juga pemegang rekod Asia Book of Records sebagai ‘The Longest Coffee Painting in Asia’ dan ‘ Most Caricature Live Painting in 24 Hours’.

whatsapp image 2024 08 28 at 11.31.08
HIN Bus Depot yang terletak di Jalan Gurdwara dekat George Town.

Buat masa ini, beliau banyak menumpukan terhadap seni mural, malah beliau juga mendapat kepercayaan untuk menterjemahkan karyanya melalui lukisan mural dari seluruh pelosok negeri.

 

“Bulan hadapan, Me menerima jemputan daripada Singapore Malay Heritage Centre untuk melukis mural di Kampung Gelam, Singapura.

 

“Me harap, melalui minat Me menghasilkan seni halus  ‘cartoon on canvas’ ini…dapatlah Me mengekspresikan kisah-kisah rakyat Malaysia ke mata dunia.

 

“(Hal ini kerana) Me percaya bahawa kartun juga mempunyai nilainya tersendiri seperti Walt Disney yang cukup terkenal sehingga ke hari ini,” katanya yang sentiasa menerapkan pelbagai kisah tempatan dalam karyanya.

 

Difahamkan, tajuk ‘Cari’ berasal daripada perkataan ‘caricature’ dan merupakan simbolik pencarian artistik yang berterusan buat diri Azmi.

 

Memulakan kerjaya sebagai artis karikatur jalanan, Azmi akui bahawa beliau mahu mengorak langkah lebih jauh dan mencabar diri untuk mencipta legasi.

 

Beliau juga pernah menghasilkan buku komik seperti ‘Tanjong Life’ (2015); ‘The Little Mamak’ (2016); ‘Lost in Bagan’ (2017); ‘Tanjong Life : The New Norm’ (2021) dan ‘Tanjong Life : Back to the 90’s’ (2022) termasuk buku mewarna ‘Warna Warni George Town’ (2023).

 

Kejayaan terbesar adalah buku komik ‘The Little Mamak’ yang tersenarai antara 50 buku terbaik di Malaysia oleh Majlis Buku Negara dan mewakili negara ke pesta buku di Frankfurt, Jerman.

 

……

457253013 557004919986002 3868018674710303108 n

Orang ramai khasnya peminat seni halus dipelawa untuk mengambil peluang melihat secara dekat hasil karya karikaturis serba boleh, Azmi Hussin melalui pameran solo bertajuk ‘Cari’ di Hin Bus Depot Exhibition Space bermula 31 Ogos sehingga 29 September 2024.

 

Pratonton akan diadakan pada 31 Ogos 2024, jam 7 malam. Semua dijemput hadir.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD