Karnival ESD, tingkat kesedaran integrasi SDG dalam pengajaran

whatsapp image 2024 11 25 at 09.57.06

JAWI – Karnival Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) Peringkat Kebangsaan 2024 yang julung kali dianjurkan oleh Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang (Green Educator’s Workgroup, GREW) adalah bertujuan meningkatkan keupayaan dan kesedaran umum khasnya generasi muda mengenai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Pengerusi GREW, Khou Jerome berkata, penganjuran tersebut bukan sahaja telah berjaya meningkatkan kesedaran mengenai pembangunan lestari malah turut mencetuskan inspirasi kepada generasi muda untuk berinovasi pada masa hadapan.

GREW berharap untuk terus bekerjasama dengan rakan-rakan strategik dalam membawa pendidikan untuk pembangunan lestari ke seluruh negara sekali gus menyumbang masa depan yang lebih hijau dan mampan.

“Pada tahun ini, selain menganjurkan karnival, GREW buat julung kalinya juga melancarkan buku rujukan bertajuk Koleksi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari (ESD).

“Buku ini mengandungi pelbagai modul dan aktiviti kreatif yang dirancang untuk membantu para pendidik di seluruh negara mengintegrasikan konsep pembangunan lestari ke dalam proses pengajaran.

“Kami (GREW) berharap buku ini akan menjadi panduan utama guru dalam mendidik generasi muda mengenai kepentingan pembangunan lestari, sejajar dengan SDG Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” ujarnya pada penganjuran karnival tersebut di sini, 23 November 2024.

Mengulas lanjut, Khou Jerome memberitahu bahawa penganjuran tersebut adalah langkah penting dalam mencapai transformasi pendidikan.

Melalui penglibatan secara langsung guru dan pelajar, kami dapat memupuk kesedaran mereka terhadap isu-isu alam sekitar serta memperkukuh keupayaan mereka dalam menyokong pembangunan lestari.

“Aktiviti ini juga menghubungkan pembelajaran bilik darjah dengan realiti kehidupan serta matlamat global SDG,” katanya.

Karnival yang berlangsung di Dewan Auditorium Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal ini telah menarik lebih daripada 300 peserta dari seluruh negara.

Selain USM, GREW turut bekerjasama dengan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP); WWF Malaysia; Arts-ED dan National STEM Association Chapter Penang.

Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Makro Pendidikan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr. Wan Raisuha Wan Ali.

Hadir sama, Ahli Majlis MBSP, Norly Masitah Mohamed Noor; Setiausaha Bandaraya, Mohd. Ibrahim Md. Nor; Ketua Program ESD WWF-Malaysia, K.Sugitha; Penolong Pengarah Kanan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBSP, Mohd. Naim Mohd. Ali serta barisan pegawai kanan MBSP dan jemputan.

Gambar : GREW