JAWI – Di bawah program MYFutureJobs, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menganjurkan Karnival Kerjaya Pulau Pinang Peringkat Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi 2023 di Pasaraya C-Mart Nibong Tebal pada Sabtu, pada 11 Mac ini mulai jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang.
Pengarah PERKESO Negeri, Mustafa Draman berkata karnival tersebut dianjurkan secara bersama dengan Pusat Khidmat Ahlli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan Malaysia.
“Dalam tempoh Januari hingga 17 Februari 2023, jumlah kekosongan jawatan yang direkodkan oleh Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs adalah sebanyak 48,180 yang mana 3,418 adalah jawatan aktif di negeri Pulau Pinang.
“Oleh itu, kita telah menjemput seramai 35 majikan antaranya Flextronics Sdn. Bhd., Mehow Medical (M) Sdn. Bhd., Robert Bosch Semiconducting Penang Sdn. Bhd., Old Town Kopitiam Sdn. Bhd. dan G Hotel untuk menyertai karnival pada 11 Mac 2023 di C-Mart nanti.
“Karnival ini nanti menawarkan 3,600 kekosongan jawatan,” jelasnya dalam sidang media promosi karnival tersebut di Pusat Penang2030 Nibong Tebal, Pasaraya C-Mart di sini baru-baru ini.
Menurutnya lagi, sejak bulan Januari 2020 PERKESO menerusi portal MYFutureJobs telah membantu seramai 776,742 orang pencari pekerjaan memperoleh pekerjaan di negara ini.
Selain itu, beliau berkata para peserta karnival pada 11 Mac nanti turut berpeluang mengikuti sesi penerangan satu lagi program di bawah PERKESO yang dikenali sebagai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
“Sejak SKSSR diperkenalkan pada 1 Disember 2022 sehingga 20 Februari 2023, seramai 2,673 orang pencarum di Pulau Pinang telah mencarum di bawah skim ini.
“Mereka layak mendapatkan pelindungan terhadap risiko kemalangan, keilatan dan kematian sewaktu melakukan urusan rumah tangga,” jelasnya sambil memberitahu sesi penerangan lanjut diadakan pada hari karnival tersebut nanti.
Sementara itu, Mooi Lye yang berucap selepas itu merakamkan penghargaan kepada PERKESO kerana berhasrat menjadikan Pusat Penang2030 Nibong Tebal di sini sebagai Pusat Satelit MYFutureJobs.
“Sebagai ADUN Jawi, saya amat mengalu-alukan kerjasama erat dengan PERKESO demi membantu rakyat tempatan terutama golongan muda untuk mendapatkan pekerjaan melalui perkhidmatan Pusat Satelit MYFutureJobs ini nanti,” jelasnya sambil memberitahu bahawa pusat satelit tersebut akan dilancarkan serentak dengan penganjuran Karnival Kerjaya Pulau Pinang Peringkat KADUN Jawi nanti.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR