JAWI – Lebih 4,000 peluang pekerjaan ditawarkan pada Karnival Kerjaya Pulau Pinang anjuran Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi bersama-sama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang bakal diadakan pada 16 Januari 2022.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye berkata, penganjuran karnival kerjaya tersebut adalah bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah (B40) mendapatkan pekerjaan sesuai bagi kelangsungan hidup mereka.
“Karnival Kerjaya Pulau Pinang akan melibatkan 32 majikan serta menawarkan 4,268 peluang pekerjaan membabitkan 22 sektor perkilangan diikuti oleh agensi pekerjaan swasta (6), sektor peruncitan (3) dan sektor pelancongan (1).
“Sebanyak 151 jawatan iaitu 67 jawatan bagi tahap pendidikan peringkat diploma dan ke atas serta 84 jawatan bagi tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah.
“Selain itu, golongan orang kurang upaya (OKU) juga tidak ketinggalan yang mana terdapat 84 jawatan ditawarkan kepada golongan OKU jenis bisu atau pekak, fizikal, pembelajaran serta mental,” katanya pada sidang media dekat C-Mart Nibong Tebal di sini pagi tadi.
Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan dan Ngoh Cheng Hai; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Nibong Tebal, Toh Kiang Kok serta wakil dari Perkeson, P. Lingeshwaran, William Ignacy dan Syafina Ali.
Pada masa sama, Mooi Lye berkata bahawa mereka yang diberhentikan kerja atau pencari kerja boleh juga mendaftar dengan portal MyFutureJobs untuk mendapatkan pekerjaan baharu.
“MyFutureJobs merupakan portal berteknologi tinggi dan terkini bagi membuat padanan pekerjaan berdasarkan kelayakan, kemahiran, pengalaman, gaji dan lain-lain mengikut keperluan majikan.
“Justeru, saya ingin menyeru kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan terutamanya golongan belia, lepasan universiti, politeknik dan persekolahan di negeri ini supaya hadir pada karnival kerjaya ini,” katanya sambil menambah bahawa mereka yang tinggal di sempatan negeri Pulau Pinang seperti Kedah dan Perak turut dialu-alukan.
Sementara itu, Lingeshwaran berkata selain menyelesaikan isu tuntutan membabitkan pekerja, Perkeso juga telah mengembangkan perkhidmatan untuk membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.
“Oleh itu, bagi mereka yang tidak mencarum dan sedang mencari pekerjaan boleh datang ke Perkeso untuk mendapatkan perkhidmatan pekerja.
“Perkhidmatan ini bukan sahaja untuk pencari kerja tetapi juga membantu majikan yang mahu mengiklankan kerja kosong atau mengendalikan temuduga melalui khidmat nasihat secara percuma,” katanya lagi.
Karnival kerjaya Pulau Pinang KADUN Jawi bakal diadakan pada 16 Januari 2022 (Ahad) bertempat di C-Mart Nibong Tebal bermula dari jam 10 pagi hingga 3 petang.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR