Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD
SEBERANG JAYA – Inisiatif Kerajaan Negeri membantu usahawan-usahawan kecil di sini melalui bantuan pinjaman mikrokredit di bawah Program Titian Saksama Rakyat (PTSR) terbukti berkesan dalam membuka lebih banyak jaringan perniagaan sedia ada.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, sehingga kini, seramai 1,500 orang usahawan kecil telah mendapat bantuan pinjaman mikrokredit daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) berjumlah RM1,000 hingga RM5,000.
“Pemberian mikrokredit tersebut terbukti berjaya membantu usahawan di negeri ini apabila sebanyak 95 peratus peminjam telah berjaya melangsaikan pinjaman masing-masing,” katanya ketika merasmikan Karnival Koperasi dan Usahawan 2013 Peringkat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan Pegawai Daerah SPT, Jusni Ismail.
Ekspo yang berlangsung dalam tempoh dua hari berkenaan dianjurkan Pejabat Daerah dan Tanah SPT dengan kerjasama Pejabat Timbalan Ketua Menteri I di Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini.
Tambah Mohd. Rashid, menerusi penganjuran karnival tersebut, beliau mensasarkan untuk melahirkan 150 usahawan pada tahun depan bagi meningkatkan persaingan sihat sedia ada.
Dalam pada itu, menurut Anwar, inisiatif Kerajaan Negeri menganjurkan program sebegitu adalah wajar dipuji kerana berjaya melahirkan banyak usahawan bumiputera dan koperasi baru.
“Saya berharap agar lebih ramai penduduk Pulau Pinang menyokong usaha ini dan sama-sama menjana ekonomi terutamanya dalam kalangan orang muda,” ujar beliau.