GEORGE TOWN – Karnival LovePENANG bakal menemui orang ramai pada 7 Januari 2023 di Padang Kota Lama.
Karnival yang julung-julung kali bakal diadakan itu adalah hasil gabungan keserasian antara festival makanan tempatan, warisan, budaya dan hiburan untuk seisi keluarga.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, penganjuran tersebut adalah sebagai tanda meraikan seruan LovePENANG yang telah berjaya menyatupadukan rakyat Pulau Pinang dalam menempuhi cabaran getir ketika pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia.
“Ketahanan rakyat Pulau Pinang yang berupaya bangkit daripada pandemik COVID-19 telah menyuntik inspirasi kepada Kerajaan Negeri.
Kini, kita semua bakal melangkah ke tahun baharu 2023 dengan semangat yang lebih teguh dan utuh sebagai sebuah pasukan.
“(Dan) bersama-sama kita meraikannya dengan semangat kekitaan serta perpaduan ini tanpa mengira latar belakang etnik, agama mahupun kecenderungan politik,” ujarnya.
Kon Yeow yang juga Exco Komunikasi mengumumkan perkara tersebut pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 28 Disember 2022.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism (PGT), Ooi Chok Yan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa sejak kempan LovePENANG dilancarkan, pelbagai aktiviti dan inisiatif telah dilaksanakan iaitu bermula daripada siri jelajah sehinggalah pelancaran laman web dan media sosial.
“Tidak terkecuali penganjuran pertandingan dan program-program penghargaan komuniti iaitu ‘Community Award’ yang bertujuan mengembalikan semula segala kebaikan kepada komuniti, ‘give back to the community‘.
Kita (Kerajaan Negeri) ingin rakyat Pulau Pinang tahu bahawa Kerajaan Negeri sentiasa cakna akan kebajikan rakyat dan mendengar suara rakyat demi merealisasikan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
“Maka, jangan lepaskan peluang, saya menjemput seluruh rakyat Pulau Pinang untuk sama-sama memeriahkan penganjuran Karnival LovePENANG kerana program ini merupakan acara kemuncak kempen LovePENANG dalam menyemarakkan semangat rakyat Pulau Pinang,” katanya.
Selain pelbagai aktiviti menarik, pameran agensi kerajaan dan gerai jualan makanan serta minuman dari kendera saji disediakan bermula jam 4 petang, Karnival LovePENANG ini juga bakal menampilkan barisan artis tanah air hebat seperti Datuk David Arumugam, Acidic Bunch, Jaclyn Victor, Faizal Tahir, PongPong, Santesh dan Shawn Lee.
Bagi peminat persembahan tarian kontemporari pula, Euphoria Penang dan Wak Long Music & Art Centre juga bakal menggegarkan pentas sama.
Malah, pengunjung juga bakal disajikan dengan pertunjukan bunga api pada akhir karnival nanti.
Jom, tandakan kalendar anda semua dan sama-sama pi Karnival LovePENANG!
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI