Karnival ‘My Best Buy’ bantu tangani kos sara hidup – Ketua Menteri

KETUA Menteri (depan, kanan) diiringi Sim Tze Tzin (depan, tengah) dan Abdul Halim Hussain mengumumkan harga telor ayam gred B RM12.80 sepapan diturunkan pada harga RM10, semasa sesi melawat garai pameran jualan di sini tadi.

BATU MAUNG – Dengan tema ‘Jualan Terus Dari Ladang’, Karnival My Best Buy (KMBB) Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung diharap dapat mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat dengan menawarkan barang berkualiti pada harga berpatutan.

Program tersebut dianjurkan secara bersama antara agensi Persekutuan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kerajaan Negeri melalui Pejabat Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa program jualan terus dari ladang itu merupakan salah satu acara di bawah Siri Jelajah ❤️PENANG Ke Parlimen Bayan Baru di sini pada 12 Ogos 2022.

Selain Tze Tzin, Exco Pedagangan & Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung; Teh Lai Heng (ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri); ADUN Pantai Jerejak merangkap Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail; Pegawai Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan Pengarah FAMA Pulau Pinang, Mohd. Azrai Ramli turut sertai jerayawara Ketua Menteri itu.

“Program ‘My Best Buy’ merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Pejabat Parlimen Bayan Baru dengan kerjasama FAMA untuk membantu rakyat bagi menangani peningkatan kos sara hidup melalui penjualan pelbagai produk pertanian dan bukan pertanian pada harga istimewa.

“Melalui program berkaitan, pengguna ditawarkan produk berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan,” jelasnya dipetik dalam kenyataan bertulis bersempena acara karnival yang dilangsungkan di Taman Poket Batu Maung di sini.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut menyifatkan program ‘My Best Buy’ sebagai satu platform kepada usahawan-usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna.

“Ini, sekaligus meningkatkan pendapatan (para usahawan dan peniaga-peniaga tempatan) melalui peluang pasaran baharu ini,” ulasnya lanjut.

Difahamkan, sebanyak 29 lot jualan terdiri daripada pelbagai buah-buahan, sayur-sayuran, tanaman serta produk makanan ditawarkan pada hari ini.

Seekor ayam pedaging yang asalnya ditawarkan pada harga RM15 sahaja, dijual pada harga RM12 sekilogram semasa tempoh ‘happy hour’; begitu juga RM11.80 sepapan telur gred B dijual pada harga RM10.

Serentak pada majlis sama, Abdul Halim turut menyampaikan set pertanian bandar kepada golongan terpilih peringkat komuniti lokal berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT