PULAU BETONG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar penganjuran acara berjalan kaki ‘Olympic Day Bendang Fun Walk’ pada pagi ini yang diadakan bersempena sambutan Hari Olimpik Sedunia pada 23 Jun (setiap tahun) dapat menyatu-padukan seluruh komuniti serta berjaya memerangi virus COVID-19 bersama-sama.
Menurut beliau, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Belia dan Sukan telah bergerak menganjurkan program berkaitan demi kepentingan perpaduan komuniti dalam wadah sukan.
“Setelah dua tahun berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penganjuran ini sedikit sebanyak dapat memberi ruang serta peluang kepada komuniti untuk menikmati kembali aktiviti bersukan dan riadah.
“Malah, secara tidak langsung, ia juga bakal memberi impak positif kepada pembangunan sukan dan komuniti secara keseluruhan,” ujarnya seusai acara berjalan kaki sejauh 6 kilometer bersama-sama lebih 1,200 peserta yang mengambil bahagian di sini.
Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MoM), Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria; Setiausaha Agung MoM, Dato’ Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa sejak Karnival Olimpik Komuniti Pulau Pinang 2022 dimulakan pada 15 Mei lalu, pelbagai penganjuran acara sukan telah berlangsung membabiptkan kelima-lima daerah seluruh negeri ini.
“Kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh pihak Majlis Olimpik Malaysia (MoM) untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai tuan rumah adalah amat dialu-alukan dan didahului ucapan terima kasih,” katanya lanjut.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING