Karnival Olimpik Pulau Pinang 2019, JOM!

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang diumumkan sebagai tuan rumah bersempena penganjuran Karnival Olimpik Pulau Pinang 2019 yang bakal berlangsung pada 23 Jun ini.

Temasya berkenaan dianjurkan sempena Hari Olimpik Sedunia yang jatuh pada 23 Jun setiap tahun.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow percaya bahawa penganjuran tersebut sedikit-sebanyak menyediakan platform kepada Pulau Pinang untuk melahirkan lebih ramai atlet dan bakat-bakat muda.

“Karnival ini adalah simbolik kepada kejohanan sukan yang paling berprestij kerana ianya menjadi impian setiap atlet untuk beraksi di pentas sukan Olimpik dunia.

“Sebanyak empat acara akan dipertandingkan iaitu badminton, bola tampar, sepak takraw dan tenpin bowling, yang mana setiap acara merangkumi tiga kategori iaitu di bawah umur 12 tahun, bawah umur 18 tahun serta 18 tahun dan ke atas.

“Lokasi pertandingan adalah di Universiti Sains Malaysia (USM) bagi pertandingan bola tampar dan sepak takraw, Kompleks Sukan Bandaraya Relau (badminton) dan Megamall Prai dan Sunshine Square (tenpin bowling).

“Semua acara ini adalah terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia, justeru saya menyeru semua rakyat di Pulau Pinang dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam acara-acara yang dibawakan khas sempena sambutan Hari Olimpik Dunia ini,” ujarnya pada sidang media pengumuman penganjuran berkaitan di Komtar sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan), Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi (Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia,MOM), Datuk Ong Poh Eng (Naib Presiden MOM), Datuk Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib (Setiausaha Agung MOM) dan Frederick Tan Teck An (Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, MSNPP).

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa acara kemuncak ialah penyalaan simbolik cahaya olimpik atau Flames of Olympic yang mana obor akan dibawa oleh bekas atlet Olimpik negara dan bakal atlet-atlet harapan negara pada 23 Jun 2019.

“Acara countdown baki hari sukan Olimpik Tokyo 2020 juga akan turut diadakan pada malam tersebut,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Idea Karnival Olimpik Pulau Pinang 2019 dicetuskan oleh Lip Chee dalam usahanya memberikan pendedahan terhadap bidang sukan berprestasi tinggi.

Dalam pada itu, Lip Chee ketika berucap menyatakan bahawa bersempena penganjuran tersebut akan berlangsung acara Jalan Kaki 5km Berkeluarga (Family 5km Funwalk) yang akan diadakan di Padang Kota Lama mulai jam 5.30 petang pada 23 Jun 2019.

“Penyertaan dibuka kepada 10,000 orang dan yuran pendaftaran adalah RM40 untuk dewasa dserta kanak-kanak di bawah umur 12 tahun (RM20).

“Selain itu, pelbagai aktiviti Mini Sukan Olimpik seperti sukan hoki, gimnastik, olahraga, klinik bola sepak, demonstrasi sukan, basket ball 3-on-3, streetgames, sukan elektronik e-games turut akan berlangsung di perkarangan Padang Kota Lama secara percuma pada hari tersebut bermula jam 4 petang hingga 9.30 malam,” katanya.

Pendaftaran boleh dilakukan melalui laman sesawang http://event/howei.com bermula pada 7 Mac sehingga 30 April 2019.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD