PINANG TUNGGAL – Peluang pekerjaan dengan kadar upah buruh wajar lebih banyak di kawasan bandar yang mempunyai zon perindustrian maju serta pesat, berbanding di kawasan pinggir bandar atau desa.
Justeru, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berharap penganjuran julung kali Karnival Pembangunan Usahawan 2019 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas dapat memberi peluang kepada muda-mudi daripada keluarga berpendapatan isi rumah 40 peratus paling rendah (B40) di pinggir bandar untuk menyaring peluang pekerjaan serta khidmat latihan lanjutan dalam sektor industri kecil dan sederhana (IKS).
“Karnival ini mendedahkan maklumat yang lebih terperinci tentang khidmat dan produk yang ditawarkan oleh agensi-agensi berkaitan kerjaya, serta peluang-peluang menyertai Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Saya berharap karnival ini juga membuka peluang pekerjaan dalam sektor perindustrian, bagi meningkatkan pendapatan isi rumah kelompok B40, seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup terutama di kawasan luar bandar,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat ketika merasmikan karnival tersebut di sini pada 30 Disember 2019.
Turut serta, Pengarah ILP Kepala Batas, Zamzuri Hassan dan Pengarah Tenaga Kerja Pulau Pinang, Mohd. Sazali Keteh.
SME Corp., ILP, Politeknik Metro Kepala Batas, Kolej Komuniti Kepala Batas, Jabatan Tenaga Kerja, Agensi Pekerjaan Siti Sdn. Bhd. dan Agensi Pekerjaan Allstaff Sdn. Bhd. merupakan antara 40 pempamer kerjaya dan pendidikan yang dibuka di sini selama tiga hari sehingga esok (1 Disember 2019).
Itu, tidak termasuk 30 gerai jualan dan makanan yang lain di pekarangan luar auditorium utama institusi.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zakiyuddin turut menyanggah dakwaan sesetengah pihak kononnya kadar pengangguran di peringkat negeri meningkat ekoran beberapa kilang menutup operasi sepenuhnya baru-baru ini.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS