GEORGE TOWN – Karnival Raya Tanjong 2025 bukan sekadar acara sambutan Aidilfitri malah juga menjadi simbol keindahan kepelbagaian budaya dan keunikan rakyat Pulau Pinang yang sentiasa hidup dalam suasana saling menghormati serta bekerjasama.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Pulau Pinang terus menjadi negeri yang meraikan kebebasan beragama, dan sambutan perayaan secara terbuka mencerminkan semangat inklusif dan damai yang wujud dalam masyarakat kita.
“Justeru, saya berharap sambutan Aidilfitri kali ini dapat memperkukuh lagi ikatan kekeluargaan dan persaudaraan antara semua lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum serta agama.
“Pada masa sama, Kerajaan Negeri tidak pernah alpa dalam usaha-usaha pembangunan ekonomi, infrastruktur dan sosial dalam negeri bagi memastikan Visi Penang2030 dapat dicapai sebelum atau tepat pada waktunya demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya pada Karnival Raya Tanjong 2025 di Padang Kota Lama dekat sini sebentar tadi.
Hadir sama, mantan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; tuan rumah yang juga Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota memberitahu bahawa ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat tarif dagangan dan tekanan pasaran antarabangsa, Pulau Pinang telah mengambil langkah pertama untuk mewujudkan Pasukan Petugas Pemantauan Tarif Pulau Pinang membangunkan Trade Adaptation Toolkit (Kit Alat Penyesuaian Perdagangan).
“Ini bertujuan memperkukuh rantaian ekonomi tempatan dan nasional di samping pelbagai lagi kerja-kerja serta projek pembangunan yang sedang aktif dijalankan secara serentak dalam negeri,” jelasnya.
Karnival satu hari itu turut dimeriahkan dengan aktiviti menarik seperti bengkel mengayam ketupat, sesi lukisan batik moden, persembahan silat, permainan tradisi seperti baling tin, teng-teng, congkak, batu seremban serta banyak lagi aktiviti-aktiviti lain yang mampu mengimbau dan menyuburkan tradisi yang telah lama menjadi identiti serta cara hidup tradisional.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : ADLEEN RAHAYU AHMAD RADZI