Karnival SNH sasar 3,000 pengunjung – EXCO

Oleh: SITI FAIRUZ YAHAYA

GEORGE TOWN – St. Nicholas Home (SNH) menganjurkan sekali lagi karnival tahunan untuk kali kedua pada 7 September depan.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dalam satu sidang media berkata, karnival yang membabitkan 70 gerai yang menjual makanan, seni dan kraftangan, permainan serta hiburan tersebut diharap dapat menarik 3,000 pengunjung.

“Pihak penganjur berharap dapat mengumpul dana sekurang-kurangnya RM100,000 melalui kunjungan 3,000 orang pada hari karnival kelak,” ujar Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.

Sebelum itu, wakil SNH yang mahu dikenali sebagai Roy turut menjelaskan mengenai aktiviti menarik sepanjang karnival tersebut.

“Karnival ini bukan saja menyeronokkan, malah dapat juga mengeratkan hubungan sesama keluarga sekaligus dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga.

“Kanak-kanak juga dapat berjumpa dengan badut dan menghiburkan mereka dengan cerita-cerita menarik serta pertunjukkan silap mata dan belon,” ujar beliau pada sidang media yang sama.

Difahamkan, SNH juga menyediakan latihan terapi urut, pembuatan pastry, kaunseling serta kemahiran informasi teknologi (IT) secara percuma kepada golongan istimewa kategori buta.