Karnival STEM 1-4 Julai, Ramasamy harap kerjasama lebih erat dengan JPNPP

Admin

SERI DELIMA – Karnival STEM Negeri Pulau Pinang pada 1 hingga 4 Julai ini akan diadakan di Institut Pendidikan Guru Tuanku Bainun dengan jangkaan menerima kira-kira 3,000 pengunjung dalam kalangan pelajar dan guru-guru.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berharap menerusi acara tahunan tersebut, ia dapat mengeratkan lagi kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).

“Secara rasminya, JPNPP dan Penang STEM akan bekerjasama buat kali pertama untuk menganjurkan Karnival STEM Negeri.

“Saya berharap kolaborasi antara JPNPP dan Penang STEM dalam penganjuran Karnival STEM ini akan menjadi titik permulaan kepada kerjasama lebih erat di antara kedua-dua pihak,” jelasnya yang juga Pengerusi Penang STEM pada sidang media di Bilik Gerakan JPNPP dekat sini pada 27 Jun 2019.

Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi, Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri menyumbang RM17,000 peruntukan demi menjayakan penganjuran berkenaan.

Sebelum pada itu, Pengarah Pendidikan Negeri, Dr. Mahanom Mat Som menyatakan bahawa kelainan pada karnival kali ini bebanding tiga siri acara tahunan lalu adalah pengunjung akan berpeluang menyertakan 22 bengkel STEM ‘secara realiti’.

“Konsep Pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) adalah pendidikan sepanjang hayat… matlamat akhir pendidikan STEM ini adalah melahirkan murid yang mempunyai literasi STEM yang berupaya untuk mengenal pasti, mengaplikasi serta mengintegrasikan konsep atau komponen STEM bagi memahami masalah serta menyelesaikannya secara kreatif dan inovatif,” ujarnya. 

Tambah Ramasamy, terdapat 18 pertandingan dalam penganjuran tersebut yang akan melibatkan kira-kira 1,300 murid sekolah rendah dan menengah serta 700 guru.

Mengulas lanjut, katanya, JPNPP akan berusaha melonjak para pemenang dalam partandingan terbuka sempena Karnival STEM pada kali ini ke kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid; Pengarah IPG Kampus Tuanku Bainon, Mohd. Saad Abbas; Pengurus Besar Penang STEM 4.0, Richard Chung; Cik Heng (wakil kepada Ketua Pegawai Eksekutif Globetronics Technologies Bhd., Dato’ Heng Huck Lee); Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Abdul Rashid Abdul Samad serta Ketua-Ketua Sektor JPNPP turut sertai sidang media promosi itu. 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD