Karnival Wanita KADUN Sungai Dua, medan perkongsian & ukhuwah

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : PPK SUNGAI DUA

 

SUNGAI DUA – Karnival Wanita Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Dua yang baru-baru ini diadakan bukan hanya menjadi wadah perkongsian isu-isu wanita, malah juga lokasi pertemuan bagi merapatkan ukhuwah sesama komuniti  setempat.

Pegawai Penyelaras KADUN Sungai Dua, Rosli Hasan berkata, karnival sehari tersebut merupakan yang julung kali diadakan membabitkan penyertaan semua lapan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) KADUN terbabit.

“Karnival kali ini kita berjaya kumpulkan komuniti khususnya golongan wanita daripada lapan JKKK.

“(Dan) saya berharap, dengan adanya penganjuran karnival sebegini, golongan wanita khususnya, dapatlah berkongsikongsi isu berkaitan bagi kepentingan serta jati diri masing-masing,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Karnival yang diadakan di Kompleks Penghulu Sungai Dua itu turut mendapat kerjasama Pertubuhan Ikram Malaysia, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara, Perpustakaan Awam Sungai Dua, Polis Diraja Malaysia serta Briged Wanita KADUN Sungai Dua.

Selain pemeriksaan kesihatan percuma, turut diadakan, pengenalan aplikasi polis menggunakan telefon bimbit iaitu Volunteer Smartphone Patrol (VSP), pertandingan mewarna, jualan buku dan reruai pameran.

Dalam pada itu, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng yang hadir merasmikan karnival tersebut menyatakan bahawa wanita merupakan lambang pembangunan negara.

“Peranan golongan wanita kini tidak dapat disangkalkan, dan wanita merupakan tunjang serta lambang pembangunan negara,” ujarnya turut meluangkan masa beramah-mesra dengan pengunjung yang hadir.