Kasih sayang mampu erat hubungan, elak perpecahan – Kon Yeow

Admin
b5c9c0d4 acac 4f6b aa2e f476aa31643d

SUNGAI PINANG – Masyarakat seluruh dunia pada hari ini lebih mendambakan nilai kasih sayang serta perpaduan yang mampu memberi impak positif.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa perkara tersebut dapat dilihat melalui paparan di media sosial yang sering menjadi perhatian.

“Jika kita lihat kepada kandungan dalam media sosial, hantaran yang berbentuk kebaikan dan kasih sayang kepada keluarga, sahabat handai mahupun orang asing memperoleh perhatian masyarakat.

 

“Keadaan tersebut mencerminkan bahawa masyarakat sangat menghargai nilai kebaikan serta kasih sayang yang sangat diperlukan dalam komuniti ini semenjak landskap ekonomi dan teknologi dunia kini yang berubah dengan drastik.

“Justeru, saya berharap seluruh rakyat Malaysia sedar bahawa berbuat baik mampu mengeratkan hubungan, terutamanya ketika api perpecahan dan perbalahan sentiasa cuba dihidupkan oleh sesetengah pihak bagi mencapai kepentingan peribadi yang mana saya percaya bahawa kebaikan boleh merapatkan jurang dan menyatukan manusia,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Bakul Makanan Kepada Fakir Miskin Anjuran Pertubuhan Anak Muda Pulau Pinang di Pusat Penang2030 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Penghulu Parlimen Jelutong, Asri Ahmad dan Pengerusi Pertubuhan Anak Muda Pulau Pinang, Muhamad Nayim Othuman Mydin.

Pada majlis tersebut, sebanyak 100 bakul makanan diagihkan kepada golongan memerlukan terutamanya kepada orang kurang upaya dan ibu tunggal.

“Bantuan makanan yang kita serahkan pada hari ini bukanlah sekadar memenuhi keperluan asas makanan, tetapi ia adalah tanda keprihatinan dan semangat kebersamaan yang tercipta dalam masyarakat kita.

0017f64d 85f8 499a 9598 068d2894cf3e

 

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang beriltizam untuk terus memperkukuhkan dasar kesejahteraan rakyat yang mana di bawah Visi Penang2030, salah satu fokus utama adalah untuk memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan negeri.

“Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk memberikan bantuan dan sokongan untuk mereka yang memerlukan, agar mereka juga dapat menikmati kehidupan yang lebih baik,” ujar Kon YEOW yang juga ADUN Padang Kota.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: ALISSALA THIAN