BAGAN DALAM – Memerang dan burung bangau putih antara habitat yang mencuri perhatian, ketika menyertai aktiviti meninjau muara Sungai Perai bersama-sama Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani pada lagi tadi di sini.
Kasthuriraani sendiri memandu salah sebuah bot fiber milik Persatuan Pemeliharaan Alam Sungai Perai Negeri Pulau Pinang.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Kasthuriraani berkata pihaknya berharap badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan dapat melaksana kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan Sungai Perai dengan sokongan langsung daripada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), kelak.
“Masih belum terlambat lagi untuk kita memulihara habitat di Sungai Perai ini, kerana tadi kita melihat ada banyak bangau (putih) berterbangan di sini.
“Kalau memerang pun kita dapat lihat di sini, ertinya ia simbol Sungai ini masih hidup untuk habitat flora dan fauna yang lain.
“Kerja-kerja awalan paling penting untuk persatuan ini adalah memastikan Sungai Perai ini bertambah bersih, dan seperti dirancang, kita harap persatuan ini dapat memainkan peranan penting untuk mengenali lawatan ringkas pelajar-pelajar sekolah menaiki bot ke sini,” jelasnya di perkarangan Taman Rekreasi Taman Kimsar di sini pada 6 Julai 2019.
Menurut cerita penduduk tempatan, muara Sungai Perai ini pernah menjadi laluan utama pengangkutan kapal pengangkut komoditi dari kilang gula di sini.
Sehingga kini, pelabuhan kecil di sini masih menjadi destinasi kapal dagang antarabangsa dari Myanmar dan Indonesia.
“Tengok atas kapal berwarna hitam itu ada bendera Burma (Myanmar), satu lagi itu yang membawa bawang itu pula ada bendera Indonesia,” kata salah seorang nelayan yang mengikuti lawatan meninjau kawasan muara Sungai Perai di sini.
Di muara Sungai Perai ini juga, kelihatan bengkel membaiki kapal dan feri. Industri hiliran lain juga wujud di sini, selain aktiviti utama iaitu menangkap ikan oleh nelayan pantai.
Kasthuriraani berkata, beliau berharap dengan adanya dua bot fiber itu jua dapat mewujudkan kesan berganda (multiplier effect) lain daripada aspek ekonomi dan impak sosial, terutama membabitkan NGO berkenaan.
“Kita di Batu Kawan ini ada banyak sumber untuk dijana tapi seakan masih belum dijana lagi.
“Kalau boleh dijana pendapatan, orang yang tiada kerja turut boleh turun ke laut untuk tangkap ikan, dan jual di pasar untuk meningkatkan pendapatan isi rumah masing-masing.
“Apabila NGO ini datang kepada saya membentangkan kerja-kerja sukarelawan yang sedang mereka buat dan saya melihat dengan adanya bot ini membolehkan mereka meningkatkan pendapatan mereka, apa salahnya untuk mereka dibantu,” jelasnya.
Sebelum itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pemuliharaan Alam Sungai Perai Negeri Pulau Pinang, S. Lingeshwaran, 38, merakamkan penghargaan atas sumbangan RM17,000 untuk membiayai sebahagaian kos pembelian sebuah bot fiber itu.
Katanya lagi, NGO berkenaan baru ditubuhkan kira-kira setahun yang lalu dan kini telah ada sejumlah sukarelawan untuk melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan sungai.
“Sumbangan daripada Yang Berhormat (Kasthuriraani) amat besar bagi persatuan kami, dan ini jua adalah sumbangan pertama yang persatuan kami terima.
“Tujuan utama penggunaan bot fiber ini adalah untuk kerja-kerja pembersihan dan keselamatan bagi Sungai Perai ini,” jelasnya.
Pada perkembangan berkaitan, Lingeshwaran turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai; ADUN Bagan Dalam, M. Satees; dan Ahli Majlis bagi MPSP, P. David Marshel kerana turut memberi sokongan kepada NGO berkenaan selama ini.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB