PADANG KOTA – Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh mengajak rakyat Pulau Pinang keseluruhannya untuk ‘katakan tidak’ kepada penggunaan plastik sekali guna mulai tahun 2019.
Katanya, dalam menjayakan perkara tersebut, langkah pertama yang diambil Kerajaan Negeri adalah larangan penggunaan penyedut minuman plastik (straw).
“Setakat ini kita banyak menerima reaksi positif dari pemilik-pemilik kedai yang sanggup menyahut cabaran ini.
“Straw ini mungkin kita lihat satu perkara yang remeh namun kesannya sangat dahsyat… digunakan untuk minum empat ke lima minit sahaja, tetapi nak lupuskannya bukanlah perkara mudah,” ujar Boon Poh ketika berucap merasmikan Carboot Barter Trade (Hari Tukar Dagang Kitar Semula) anjuran Junior Chamber International (JCI) Malaysia di Padang Kota, baru-baru ini.
Hadir sama, Naib Presiden Eksekutif Kebangsaan JCI Malaysia, Senator Chew Hooi Mei, Naib Presiden JCI United Pulau Pinang dan Pengerusi Penganjur, Peggy Teh
Mengulas mengenai penganjuran tersebut, Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu turut memuji usaha JCI yang saban tahun menganjurkan acara tersebut dan secara tidak langsungnya mengurangkan penghasilan sampah melalui sistem barter.
“Sistem barter sangat unik dan pernah digunakan sebelum adanya transaksi tunai, mungkin ada barang yang anda tidak inginkan tetapi sangat diperlukan oleh orang lain,” ujarnya lanjut.
Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI