Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pembersihan Proses Perolehan Perumahan (SPEC) baru-baru ini mengumumkan kategori baharu pemilihan rumah mampu milik yang diperluaskan kepada penjawat awam negeri ini.
Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, kategori baharu tersebut akan memanfaatkan 4,178 penjawat awam negeri untuk memiliki rumah pertama mereka.
“Kebajikan penjawat awam negeri termasuk memiliki rumah kediaman sendiri merupakan sebahagian kepentingan kita (Kerajaan Negeri).
“Pemilihan rumah mampu milik melalui kategori baharu ini turut merangkumi mereka yang kurang upaya (OKU), ibu atau bapa tunggal, warga emas, kumpulan bakat dan mereka yang terjejas akibat projek menaiktaraf jalan atau mitigasi serta yang terlibat dengan perintah pindah,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa SPEC Negeri Pulau Pinang.
Tambah Jagdeep, Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini ada menyatakan komitmen Kerajaan Pusat untuk membina 100,000 unit rumah mampu milik bernilai antara RM90,000 ke RM300,000 di bawah skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia atau PPA1M menjelang 2018.
Walau bagaimanapun, jelasnya, Kerajaan Negeri tidak dimaklumkan langsung berhubung perkara tersebut.
“Kita (Kerajaan Negeri) memandang serius perkara ini kerana di negeri Pulau Pinang juga ada penjawat awam seramai 4,178 orang. Kita berharap Kerajaan Pusat tidak ‘menutup mata’ kerana ia melibatkan penjawat awam.
“Begitu juga dengan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang diwarwarkan untuk Pulau Pinang,” ujarnya yang merujuk pada beberapa pengumuman berhubung PR1MA di negeri ini sebelum ini.