Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Warga emas dan orang kurang upaya (OKU) Daerah Timur Laut (DTL) kini mampu menikmati pelbagai perkhidmatan ditawarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang (JKMNPP) dengan lebih selesa dan efisien ekoran pelancaran kaunter pandu lalu di Kompleks Masyarakat Penyayang (KMP) di sini baru-baru ini.
Kaunter yang dibuka setiap Rabu dan Khamis bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari tersebut menawarkan perkhidmatan pendaftaran membabitkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penyerahan dan semakan kad OKU serta perkhidmatan berkaitan golongan warga emas.
Mantan Pengarah Jabatan JKMNPP, Dr. Zaitol Salleh ketika merasmikan perasmian tersebut berkata, inisiatif yang diperkenalkan adalah bertujuan memudahkan masyarakat setempat terutamanya warga emas dan golongan OKU mendapatkan perkhidmatan dari pejabat terbabit tanpa perlu ke tingkat atas bangunan KMP.
“Kita (JKMNPP) sentiasa bersiap-siaga menambah baik mutu perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat.
“Adanya kaunter sebegini, mereka (OKU dan warga emas) tidak perlu lagi ke tingkat atas bagi mendapatkan perkhidmatan.” ujarnya pada Majlis Perasmian Kaunter Pandu Lalu Pejabat JKMNPP Daerah Timur Laut di KMP di sini baru-baru ini.
Menurut Zaitol, kaunter seumpamanya telah mula diperkenalkan di beberapa daerah di Pulau Pinang seperti Daerah Barat Daya (DBD) dan Seberang Perai Selatan (SPS) sebelum ini.
“Kita (JKM) bukan sahaja bersedia menambah baik perkhidmatan, sebaliknya kakitangan JKM perlu menjalankan tugas dan amanah yang diberikan dengan baik dan ikhlas hati,” ujar beliau.
Sebarang keterangan lanjut sila emel kepada, [email protected](‘head’)[0].appendChild(s);