Kaunter suntikan tifoid Sungai Jawi dibuka setiap Rabu minggu ketiga

Admin
whatsapp image 2025 03 06 at 12.20.19

JAWI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mengaktifkan semula kaunter suntikan vaksin tifoid di cawangan Sungai Jawi sebagai langkah proaktif dalam memastikan pengendali makanan di Seberang Perai mematuhi piawaian keselamatan makanan yang ditetapkan.

Ahli Majlis MBSP, Heng Yeh Shiuan berkata bahawa inisiatif ini memainkan peranan penting dalam memelihara kesihatan awam sekali gus dapat memastikan pematuhan terhadap standard kebersihan makanan yang ditetapkan.

“Sebelum ini memang kaunter ini pernah menjalankan perkhidmatan suntikan vaksin tifoid, tetapi dihentikan sejak tahun 2023 akibat kekangan kakitangan dan permintaan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan ini amat rendah di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS)” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Majlis MBSP, K. Predeeb Kumar.

Selain itu, beliau juga memberitahu bahawa kaunter vaksinasi akan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 4 petang pada hari Rabu minggu ketiga setiap bulan.

Sempena Hari Perlindungan Kesihatan Sejagat (UHC), pihak MBSP turut menawarkan promosi untuk suntikan vaksin tifoid sehingga 31 Mac ini di seluruh Seberang Perai.

“Bagi warganegara yang berlesen, harga yang ditawarkan adalah RM64 dan untuk yang bukan warganegara adalah RM89.

“Harga untuk yang tidak berlesen pula adalah RM102 bagi warganegara dan RM170 bagi yang bukan warganegara,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Yeh Shiuan memaklumkan bahawa kategori individu yang perlu mengambil suntikan ini lebih kepada pengusaha – pengusaha yang mengendali makanan dari pelbagai aspek.

“Memandangkan sekarang bulan Ramadan, saya sangat mewajibkan kepada semua peniaga di bazar untuk mengambil suntikan vaksin tifoid bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Bagi memudahkan pengendali makanan yang ingin mengambil suntikan vaksin tifoid ini, mereka digalakkan untuk mendaftar akaun melalui laman web rasmi MBSP di https://emunisasi.mbsp.gov.my.

Teks & Gambar : NUR BATRISYIA IDRUS