GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa tiga lot tanah milik 1 Malaysian Development Berhad (1MDB) di GRN4661, GRN53264 Mukim 13 Daerah Timur Laut dan Bandar Ayer Itam (GRN43187) telah dikaveat sejak 11 Julai 2018 hingga kini.
Menurut Exco Kewangan, Ekonomi & Komunikasi itu lagi, langkah kaveat itu hanya menghalang proses urus niaga tanah tersebut sahaja serta tidak menghalang rancangan pembangunan di situ jika mendapat kelulusan Kebenaran Merancang berwajib.
“Ketiga-tiga hak milik didaftarkan atas nama 1MDB RE (Air Itam) Sdn. Bhd. yang ditukar nama kepada Ayer Itam Properties Sdn. Bhd. pada 17 April 2018.
“Tanah 1MDB yang dimaksudkan di Air Itam tersebut adalah di bawah kategori ‘First Grade’,” jelasnya semasa Sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 30 November 2023.
Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut memberitahu bahawa terdapat notis penyitaan dan kaveat pendaftar yang didaftarkan pada ketiga-tiga tanah tersebut, atas permintaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Kon Yeow memberi penjelasan itu sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan oleh ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon.
Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 pada kali ini ditangguhkan menjelang tengah hari tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS