Kawalan pandemik COVID-19 : Kerajaan Negeri sedia perhalusi, selaraskan SOP

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia menyelaraskan kesemua tatacara operasi standard (SOP) yang dikeluarkan di peringkat Kerajaan Persekutuan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan awam rakyat di negeri ini terus terjamin.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo dalam sidang media pagi ini menyatakan bahawa Kerajaan Negeri amat prihatin dengan maklum balas yang diterima daripada rakyat Pulau Pinang berhubung perbezaan SOP di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Sebagai makluman rakyat Pulau Pinang, Kerajaan Negeri sentiasa mematuhi segala SOP yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membendung penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

JAGDEEP Singh Deo (kiri) bersama-sama Ir. Addnan Mohd. Razali pada sidang media pagi ini.

“Namun, terdapat beberapa SOP oleh Kerajaan Persekutuan yang mana Kerajaan Negeri berpandangan bahawa adanya keperluan SOP tersebut diperketatkan lagi setelah mengambil kira faktor dan keperluan secara lokal (tempatan) di negeri ini.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri bersedia menyeleraskan kesemua SOP yang ada dan akan mengambil sedikit masa untuk memperhalusi satu per satu sebelum dipersetujui (pelaksanaannya) antara Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan terlibat,” ujarnya kepada pemberita sejurus hadir menyaksikan Upacara Pengakuan Menerima Jawatan sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Dewan Bandaraya dekat sini.

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Kerja Pembudayaan Kebiasaan Baharu dan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Perundangan dan Penguatkuasaan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang memberitahu bahawa terdapat 53 SOP yang dikeluarkan di peringkat Kementerian dan pelbagai agensi kerajaan berbeza setakat ini.

Jumlah SOP ini turut bertambah setiap minggu setelah beberapa sektor kini telah dibuka semula secara berfasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan.

“Sebelum ini, pada 25 Jun 2020, suatu mesyuarat jawatankuasa bersama-sama MKN Negeri Pulau Pinang, MBPP, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan wakil dari pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri telah bersetuju untuk menyelaraskan perbezaan SOP antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri demi kesenangan rakyat.

“Malah, pihak MKN Negeri Pulau Pinang turut memuji usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memperketatkan SOP demi keselamatan dan kesihatan rakyat di negeri ini dan Kerajaan Persekutuan tiada seberang halangan terhadap usaha tersebut,” jelasnya yang berharas untuk mengadakan satu lagi mesyuarat bersama-sama agensi penguatkuasaan bagi memuktamadkan segala cadangan penyelarasan dalam masa terdekat ini.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucaptama dalam upacara pengakuan menerima jawatan sebagai Ahli Majlis, Jagdeep memaklumkan bahawa kadar pematuhan rakyat Pulau Pinang sehingga 5 Julai 2020 adalah pada tahap sangat baik.

“Kadar pematuhan SOP di bahagian pulau, daripada 177,498 pemeriksaan 99.68 peratus patuh dan mengikut saranan kerajaan. Manakala di bahagian Seberang Perai daripada 340,465 pemeriksaan, pematuhan direkodkan adalah pada 99.28 peratus.

“Suka saya mengingatkan seluruh rakyat Pulau Pinang untuk terus memastikan pematuhan yang baik demi keselamatan dan kesihatan semua kerana perjuangan menentang pandemik ini masih belum tamat dan kita semua perlu bersama-sama terus melawan COVID-19,” sarannya.

Dalam ucaptama serupa, Jagdeep turut mengulangi semula iltizam dan peranan yang dimainkan oleh seseorang Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan.

“Jangan lupa objektif atau matlamat sebenar sebagai Ahli Majlis yang mana setiap Ahli Majlis perlu menyemat dua ‘buku’ dalam menterjemahkan khidmat bakti mereka iaitu Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) 2030 dan Visi Penang2030 terutama dalam membendung penularan pandemik COVID-19.

“Sejak 26 April 2020, tiada kes baharu dicatatkan di Pulau Pinang dan semuanya adalah hasil titik peluh barisan hadapan termasuk pihak berkuasa tempatan, MBPP dan MBSP yang mengawal selia tempat perniagaan dan tapak pembinaan di seluruh negeri ini,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada pihak berkaitan.

Usai ucaptama, Ahli Majlis yang baharu dilantik, Rodziah Abul Kassim menyempurnakan lafaz menerima jawatan di hadapan Jagdeep serta Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

Hadir sama, Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; barisan Ahli-ahli Majlis serta Ketua-ketua Jabatan MBPP.

RODZIAH Abul Kassim.

Pelantikan Rodziah sebagai Ahli Majlis berkuat kuasa 2 Julai 2020 sehingga 31 Disember 2020 bagi menggantikan Nur Zarina Zakaria.

Rodziah, sebelum ini pernah berkhidmat bersama-sama Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai Pegawai Khas kepada mantan Exco selama 10 tahun bermula 2008 sehingga 2018.

“Alhamdulillah, kini saya kembali mencurah khidmat bakti di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang semula.

“InsyaAllah saya akan meneruskan khidmat bakti yang terbaik bersama-sama rakan seperjuangan demi mencapai Visi Penang 2030,” zahirnya ketika ditemui di sini, tadi.

Difahamkan, beliau diberi tanggungjawab di bawah tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Tetap Penguatkuasaan dan Pendidikan Awam; Jawatankuasa Tetap Perancangan Pembangunan dan Kemajuan serta Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalu Lintas.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN