Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) akan memantau dengan teliti jumlah hujan dan tahap air Empangan Teluk Bahang.
Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa sebagai mengulas kenyataan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berhubung aktiviti pembangunan membabitkan kawasan tadahan air di Pulau Pinang yang dikatakan secara tidak langsung boleh menjejaskan bekalan air mentah di negeri ini.
“Ingin dijelaskan bahawa kami (PBAPP) dimaklumkan hanya satu projek diluluskan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di kawasan tadahan air Pulau Pinang iaitu projek tapak perkhemahan premium dikenali sebagai ‘Boulder Valley Glamping Resort’ di Teluk Bahang.
“Sebagai pengendali bekalan air di negeri ini, PBAPP mengambil berat tentang kesan projek berkaitan di tanahtanah hutan terutama di kawasan tadahan air yang ‘menangkap’ air untuk Empangan Teluk Bahang.
“Lanjutan itu, PBAPP sudah memfailkan laporan menyatakan kebimbangan tentang perkara ini kepada Badan Kawal Selia Air Pulau Pinang (BKSA), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang (PTG) yang bertanggungjawab mengawal selia projekprojek pembangunan di Pulau Pinang.
“Hasilnya, kami (PBAPP) telah dimaklumkan bahawa Boulder Valley Glamping Resort adalah projek yang mesra alam dan memberi kesan minimum dari segi jenis pemb an gun an , pemuliharaan alam semulajadi dan pelupusan sisa.
“Malah, satu jawatankuasa turut ditubuhkan bagi memantau dengan teliti kawasan tadahan air di Teluk Bahang yang diketuai oleh Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng,” ujarnya dalam kenyataan akhbar bertarikh 23 September lalu.
Dalam pada itu, Jaseni memberitahu, Empangan Teluk Bahang merupakan antara tempat takungan air paling strategik bagi menghadapi fenomena musim kemarau, Super El Nino sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
“PBAPP akan memastikan ia terus menakung air sebanyak mungkin bagi mengelak catuan air di Pulau Pinang dalam apa jua keadaan pun.
“(Dan) hari ini, kita (Pulau Pinang) menghadapi fenomena La Nina yang membawa hujan sehingga 1,252 milimeter (mm) hujan di kawasan tadahan Teluk Bahang antara 1-21 September 2016 berbanding tempoh sama tahun 2005 hingga 2015 hanya 721mm hujan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Jaseni menasihatkan supaya semua pihak yang tinggal di kawasan sering dilanda banjir, khususnya di Teluk Bahang dan Teluk Kumbar supaya berjagajaga apabila terdapat hujan lebat dan air pasang.
“PBAPP akan terus memantau hujan melalui tolok hujan di Teluk Bahang serta kapasiti di Empangan (Teluk Bahang) setiap hari,” ujar beliau.