GEORGE TOWN – Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata dalam rancangan gangguan bekalan air berjadual selama 72 jam bermula pada 10 Januari 2024, proses penggantian dua injap paip 1,200 milimeter (mm) dekat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua serta kerja-kerja pembaikan di 22 lokasi lain yang akan dilaksanakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) nanti mengambil masa kira-kira sehari sahaja.
Justeru, beliau berkata dalam proses pemulihan nanti lokaliti paling hampir dengan LRA Sungai Dua akan mendapat dahulu sumber air terawat berbanding kawasan-kawasan lain sekitar Daerah Seberang Perai Selatan dan Balik Pulau dekat Daerah Barat Daya.
“Sebenarnya kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan pada hari pertama (10 Januari 2023), maka sejurus ia siap, proses pemulihan air akan bermula (yang mana) air ini akan bergerak satu hala sahaja, mana-mana kawasan terdekat dengan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua akan mendapat air dulu.
“Oleh itu, sudah tentu kawasan-kawasan sekitar Seberang Perai Utara (SPU) akan dapat air dulu sebab LRA di Sungai Dua (dekat Daerah (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT), kemudian (diikuti) George Town; kawasan Balik Pulau dan SPS (Seberang Perai Selatan) adalah kawasan terakhir akan mendapat bekalan air (dalam proses pemulihan air nanti),” jelasnya kepada pemberita sesuai menghadiri Majlis Pelancaran Penang Internet Exchange (PIX) salah sebuah hotel dekat sini pada 5 Januari 2023.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi hadir menyempurnakan perasmian majlis tersebut.
Turut berucap, Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Ahli Lembaga DE-CIX Malaysia, Wong Weng Yew; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Digital Penang, Ts. Ng Kwang Ming.
Mengulas lanjut, Zairil memberitahu bahawa pihaknya turut meminta bantuan logistik daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) seperti lori tangki air serta tangki air bergerak, namun perkara tersebut dalam proses dimuktamadkan.
“Persediaan (bagi menghadapi rancangan gangguan bekalan air berjadual) sedang dilangsungkan oleh PBAPP, dan saya pun telah menghubungi SPAN untuk minta bantuan (seperti) tangki.
“Macam sebelum ini, SPAN telah membekalkan 15 tangki bergerak kepada negeri Pulau Pinang, maka pada kali ini kita minta lebih (bilangan tangki air), maka ia sedang dimuktamadkan jumlah tangki yang boleh dihantar ke negeri Pulau Pinang,” katanya.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Tanjung Bunga itu lagi, ketika ini PBAPP sedang memperincikan persiapan akhir dari segi logistik, seperti menetapkan tempat letak tangki besar (25,000 liter) dan tangki kecil.
“Kita (PBAPP) akan fokus ke kawasan-kawasan kritikal seperti Balik Pulau dan Daerah SPS, juga Sungai Ara yang mana kita akan menambah bilangan tangki air,” respons beliau.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD