Kawasan terjejas akibat ribut dan hujan, PBT giat jalankan pembersihan

b425e4f0 af97 4af4 98d7 5b2b02f20c6e

GEORGE TOWN – Hampir 200 kes pokok tumbang dicatatkan seluruh negeri sejak 15 September sehingga jam 12 tengah hari hari ini akibat kejadian hujan lebat dan ribut.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) masih giat menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi-lokasi terjejas akibat insiden tersebut.

“Di kawasan pulau, pada hari pertama (15 September), kita menerima laporan kejadian pokok tumbang di 90 lokasi yang mana sebahagiannya telah diuruskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Serentak itu, ia turut menjejaskan rumah di tiga lokasi dan melibatkan lapan kereta, proses pembersihan tapak masih berjalan di lokasi-lokasi berkaitan.

“Pada hari kedua (16 September), sebanyak sembilan laporan (pokok tumbang) diterima yang turut menjejaskan dua buah rumah.

“Pada hari ini, sehingga jam 12 tengah hari, di pulau, kita menerima 43 aduan, manakala pasukan MBPP telah sampai ke 39 lokasi untuk kerja-kerja pembersihan demi keselamatan orang awam,” ujarnya dalam sidang media di Komtar sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee.

Tambah beliau, bagi kawasan Seberang Perai, sebanyak 30 aduan pokok tumbang diterima dan kerja-kerja pembersihan giat dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Hari ini juga di Seberang Perai, kita menerima laporan banjir kilat akibat hujan sangat lebat dengan jumlah hujan dicatatkan adalah 110 milimeter (mm) dalam tempoh satu jam.

“Ini merupakan jumlah hujan yang sangat lebat dan mengakibatkan banjir kilat di banyak lokasi seperti di 43 kawasan membabitkan kawasan Seberang Perai Tengah serta Seberang Perai Selatan (28).

“Semua kawasan masih dipantau oleh MBSP serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), malah kita juga sedang menunggu laporan lengkap tentang kejadian ini,” jelasnya.

Kon Yeow dalam pada itu menyeru orang ramai agar terus berwaspada kerana amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia masih aktif sehingga esok.

“Jadi dalam tempoh ini, hujan dan ribut masih boleh berlaku, dan saya mohon semua rakyat mahupun pelancong, apabila ribut berlaku, elakkan berada di jalan raya kerana risiko pokok tumbang mungkin berlaku, jaga keselamatan diri supaya dapat mengelak daripada sebarang kejadian tidak diingini,” ulasnya.

Sementara itu, Yuee Harng pada sidang media sama memberitahu bahawa beberapa jeti klan yang diperbuat daripada kayu turut mengalami kerosakan akibat ombak kuat yang membadai jeti-jeti di Pengkalan Weld.

Pihaknya turut menunggu laporan lanjut sebelum membantu membaiki jeti-jeti yang terlibat.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT

Video : ALISSALA THIAN.