TELOK BAHANG – Sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK), Halil Sabri Hamid mengambil inisiatif khas menganjurkan Program Kayuhan Berbasikal di sini.
Program terbuka kepada golongan kanak-kanak dan remaja tersebut diadakan bagi memupuk semangat patriotik dan kecintaan terhadap negara.
Menurut Halil, program berbentuk santai dan riadah itu diadakan di sekitar laluan desa melalui Kampung Jalan Bharu dan Kampung Titi Teras di sini.
“Selain menikmati suasana persekitaran yang hijau dan segar, peserta juga dapat beramah mesra dan mengeratkan ikatan silaturrahim sedia terjalin,” kata Halil kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.
Bersempena itu, acara cabutan bertuah turut diadakan bagi memeriahkan penganjuran program.