Kayuhan ria rai ulang tahun ke-74 kelahiran TYT

Admin
DI pentas utama, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) bersama-sama barisan pemimpin lain menyempurnakan acara pelepasan peserta awam kayuhan ria di Jalan Padang Kota Lama di sini pada 15 Oktober 2023.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersama-sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada awal pagi ini menganjurkan Program Kayuhan Ria sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-74 Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran bersama-sama Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; dan Pengarah SPRM Pulau Pinang, Ruslan Mat serta wakil kepada Ketua Polis Negeri, Asisten Komisioner Polis Mohd. Shukairy Abd. Sabhe antara barisan pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai acara komuniti lokal tersebut.

Walaupun dalam gerimis pagi selepas hujan renyai, kelihatan ratusan peserta mula berhimpun di sekitar Padang Kota Lama untuk menyertai kayuhan ria sejauh 20 kilometer (km).

Kayuhan ria ini melalui Lebuh Light, Jalan Masjid Kapitan Keling, Jalan Kampung Kolam, Lebuh Carnarvon, Jalan Dr. Lim Chwee Leong, Jalan C. Y Choy, Jalan Magazine, Jalan Penang, Jalan Burma, Jalan Pangkor, Jalan Kelawai, Jalan Tanjong Tokong, Jalan Seri Tanjung Pinang, Persiaran Gurney, Jalan Sultan Ahmad Shah, Lebuh Farquhar dan Lebuh Light sebelum kembali ke garisan penamat acara di Jalan Padang Kota Lama.

Tun Ahmad Fuzi sempat menyempurnakan acara pelepasan belon bersama kain rentang kempen yang tertera ‘Pulau Pinang Maju Tanpa Rasuah’ ke udara, sebelum melepaskan peserta kayuhan awam.

Selepas itu, sekitar jam 7.15 pagi, Tun Ahmad Fuzi sendiri mengetuai kayuhan ria kehormat yang mana acara pelepasan kedua peserta disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Pulau Pinang, Chin Chen Huat.

Kata seorang peserta di khemah pemeran SPRM kepada Buletin Mutiara, kehadiran pelbagai bangsa menyertai acara kayuhan riang bersama-sama tonggak utama Kerajaan Negeri Pulau Pinang (iaitu Tun Ahmad Fuzi) pada awal pagi ini memang sempoi.

Selamat Ulang Tahun Ke-74, Tun!

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN