Kayuhan spin bike 100 jam harumkan nama Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan pengiktirafan memecah rekod di Malaysia Book of Records dalam acara Longest Non Stop Spin Bike Relay telah mengharumkan nama Pulau Pinang.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup kayuhan selama 100 jam bermula 23 Mac lalu yang tamat petang tadi.

 

“Sejarah baru ini, bukan sahaja memberikan kelebihan kepada para peserta tetapi juga mengharumkan nama baik Central Muslim Society (CMS), membanggakan kawasan (Parlimen) Tanjong dan Pulau Pinang secara keseluruhannya.

 

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan syabas serta tahniah kepada seluruh warga CMS yang begitu komited dan dedikasi dalam mencipta rekod serta pencapaian khusus dalam bidang sukan spin bike,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

 

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Presiden CMS, Hassan Othman; Pengerusi Penganjur, Dastagir Mohd. Yassin; Pengarah Urusan Stay Fit Is Sunnah, Ahmad Faizal Mohd. Lazim merangkap jurulatih kepada pasukan spin bike dan Pengarah Pemasaran Malaysia Book of Records, Jwan Heah Yeow.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa penganjuran serupa adalah selaras dengan Visi Penang2030, Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan sebarang bentuk penyertaan dan penglibatan sebegini kerana kita percaya, dengan kekuatan dan sokongan inilah yang akan mendorong Pulau Pinang untuk terus maju serta membangun pada masa hadapan.

 

“Semoga dengan kejayaan ini, ia akan membawa dan mendorong lebih banyak pencapaian pada masa-masa akan datang, sekaligus menarik lebih banyak penyertaan daripada kalangan anak muda negeri ini,” katanya yang juga ADUN Padang Kota.

 

Dalam acara tersebut, seramai 30 peserta menjayakan percubaan memecah rekod kayuhan selama 100 jam tanpa henti di dewan CMS dekat Jalan Kedah.

 

Dalam pada itu, Faizal memberitahu bahawa idea dan perancangan mengenai kayuhan tersebut tercetus dua tahun lalu apabila beliau hanya boleh berkayuh secara ‘indoor’ apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan.

 

Mengambil kesempatan tersebut, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang menyokong usaha pasukan Stay Fit Is Sunnah tersebut.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : LAW SUUN TING