Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SHUM JIAN-WEI
GEORGE TOWN – Kolej Universiti KDU (KDU) Pulau Pinang baru-baru ini memeterai memorandum perjanjian (MoA) bersama-sama Universiti Dongseo (DSU), Korea Selatan, dalam usaha meningkatkan lagi penglibatan, rangkaian global dan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.
Guan Eng berkata, usaha Kerajaan Negeri dalam memartabatkan bidang pendidikan di negeri ini semakin kukuh dengan perjanjian kerjasama dan hubungan strategik antara kedua-dua universiti berkenaan.
Jelasnya, kerjasama melalui penawaran dua bidang pengajian baru (dwi-ijazah) iaitu Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Multimedia Kreatif dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Komunikasi (pengkhususan Media Baharu), dapat membuka ruang ke arah mencapai hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadi hab global bagi industri multimedia kreatif.
“Kerjasama ini menjadi sebahagian inisiatif Kerajaan Negeri dalam mempromosikan kualiti pendidikan bermutu sekaligus meningkatkan profil akademik negeri Pulau Pinang ke peringkat global.
“Di samping itu, ia juga dilihat menyokong prinsip dalam membawa hasrat Kerajaan Negeri ke arah sebuah negeri bertaraf antarabangsa dan pintar,” ucapanya pada Majlis Pemeteraian MoA Antara KDU Pulau Pinang dan DSU, Korea Selatan di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KDU Pulau Pinang, Dr. Chong Beng Keok; Presiden DSU, Prof. Dr. Jekuk Chang; Dekan Perhubungan Antarabangsa DSU, Prof. Dr. Chan Chung, Pengurus Besar investPenang, Loo Lee Lian dan Setiausaha Politik kepada Y.A.B. Ketua Menteri, Wong Hon Wai.
Univeristi Dongseo yang terletak di daerah Busan, Korea Selatan merupakan salah sebuah universiti terkemuka di negara berkaitan dan mempunyai kira-kira 12,000 siswazah dari 27 negara seluruh dunia.
Dalam pada itu, Beng Keok yang juga Pengetua KDU Pulau Pinang berkata, kerjasama tersebut merupakan komitmen bagi membolehkan kedua-dua universiti di dua buah negara merapatkan hubungan dalam bidang pengajian akademik dan penyelidikan serta berkongsi maklumat semasa dalam bidang pendidikan.
“Pelajar yang mengikuti salah satu dari bidang pengajian ditawarkan dikehendaki menamatkan dua tahun pertama di KDU dan baki dua tahun terakhir di DSU.
“Ini termasuk latihan komprehensif dalam kandungan digital, informasi, animasi digital, kesan bunyi dan penerbitan,” jelas beliau.
var d=document;var s=d.createElement(‘script’);