Ke arah Pulau Pinang mesra pejalan kaki

GEORGE TOWN – Pengguna jalan raya perlu lebih bertimbang rasa dan hormat pengguna jalan raya yang lain terutama terhadap keselamatan pejalan kaki di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, pengguna jalan raya perlu sedar bahawa pejalan kaki adalah kumpulan yang sentiasa terdedah kepada bahaya dan perlu sentiasa diberi keutamaan.

“Oleh demikian, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memberi sepenuhnya tumpuan terhadap penambahbaikan laluan pejalan kaki di Pulau Pinang demi keselamatan dan kemudahan pengguna jalan raya ini,” katanya pada Majlis Penutupan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2013.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), secara purata 17 pengguna jalan raya mati akibat kemalangan setiap hari menjadikan jumlah keseluruhan 6,200 kematian setiap tahun.

Tahun lalu di Pulau Pinang, sejumlah 401 kematian dicatatkan dan kebanyakannya melibatkan penunggang motosikal.

Kajian Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) juga menyatakan bahawa dengan satu kematian di jalan raya, kerajaan terpaksa menanggung kerugian sehingga RM1.2 juta dan menyebabkan negara kerugian RM7.5 bilion setahun sedangkan jumlah itu boleh digunakan untuk tujuan pembangunan.

Menurut Kon Yeow, bermula tahun ini sehingga 2015, Kerajaan Negeri menfokuskan aspek keselamatan jalan raya terutama kebolehsampaian semua pengguna jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan jiwa.

“Ini termasuk meneliti semula semua laluan pejalan kaki agar ia selamat digunakan dan akan sentiasa memastikan laluan tersebut mesra pengguna tidak kira sama ada kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas mahupun kanak-kanak.

“Saya percaya dengan bajet tahunan Majlis (Majlis Perbandaran Pulau Pinang – MPPP), Pulau Pinang mampu menjadi negeri yang selamat dan mesra pengguna terutamanya pejalan kaki,” jelas beliau.

Tambah beliau, inisiatif tersebut adalah sejajar dengan Pelan Induk Pengakutan Pulau Pinang yang menjadi dasar Kerajaan Negeri sehingga menjelang tahun 2030.

Lebih 40 buah sekolah rendah dan sekolah menengah menyertai kempen yang julung kali diadakan di negeri ini. Kempen tersebut dianjurkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, JKJR dan Kerajaan Negeri.