Ke mana RM20 juta? Pusat rawatan kanser tiada di Hospital Kerajaan – KM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata pusat rawatan kanser langsung tiada di mana-mana Hospital Kerajaan di Pulau Pinang.

 Justeru, beliau mempersoal status peruntukan tambahan RM20 juta untuk Hospital Balik Pulau seperti diumum oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya baru-baru ini.

“Persoalannya adalah apakah bentuk perbelanjaan tersebut.

“Adakah RM20 juta ini semata-mata untuk meningkatkan perkhidmatan A&E (Accident & Emergency) dan Forensik sahaja atau untuk menubuhkan satu pusat rawatan kanser baharu di sini?,” tanya Guan Eng di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, pusat rawatan kanser sepatutnya sudah lama dibina di hospital-hospital milik kerajaan di negeri ini, namun tiada satupun pusat rawatan kanser ditubuhkan di hospital kerajaan di Pulau Pinang.

“Kita seharusnya tidak hanya membiarkan hospital swasta untuk mengambil peranan tersebut.

“Ini kerana Pulau Pinang telahpun diiktiraf memimpin pelancongan perubatan di rantau ini berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

Dalam penggal pertama sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Guan Eng meminta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam supaya menjelaskan punca tiada pusat rawatan penyembuhan barah di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya.

Dalam soal jawab bertulis pada 8 Julai lalu, Subramaniam memberitahu, peranan pusat rawatan penyembuh barah itu diselenggara oleh dua hospital swasta, bukan hospital kerajaan.

“Hospital Pulau Pinang turut menyediakan perkhidmatan rawatan kanser (Oncology and Nuclear Medicine) dan buat masa ini memperolehi perkhidmatan radioterapi dari Hospital Mount Miriam dan juga Hospital Pantai Mutiara.

“Perolehan perkhidmatan radioterapi dari kedua-dua hospital swasta ini dibuat melalui perjanjian persefahaman perolehan perkhidmatan yang dipersetujui dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujar Subramaniam dipetik dari jawapan lisan Dewan Rakyat.

Ekoran itu, Hilmi mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM20 juta kononnya untuk Hospital Balik Pulau hatta dipertikai oleh Guan Eng.