Keadaan berjerebu, orang ramai diingatkan hadkan aktiviti luar dan jumpa doktor jika ada masalah kesihatan

GEORGE TOWN – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Dr. Afif Bahardin menasihatkan individu yang mempunyai masalah respiratori segera berjumpa doktor.

Jelasnya situasi jerebu yang kerap mencatat bacaan Index Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat ketika ini boleh mengancam kesihatan sekiranya mempunyai masalah tersebut.

“Saya bimbang sekiranya rawatan segera dengan berjumpa doktor tidak dibuat masalah lebih serius akan timbul dan mungkin boleh mengancam nyawa.

“Jadi sepanjang tempoh jerebu sedang melanda negara khususnya Pulau Pinang, saya minta orang ramai untuk kurangkan aktiviti-aktiviti luar, banyakkan meminum air dan pakai topeng sekiranya berada di kawasan terbuka,” ujar Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Buletin Mutiara dalam kesempatan sama turut mendapatkan pandangan dari Pegawai Farmasi, Nurul Hafizah Iskhak.

Nurul Hafizah ketika dihubungi menegaskan agar pesakit asma lebih berjaga-jaga dalam situasi berjerebu sekarang.

“Nasihat saya yang mana ada menghidap asma, hadkan aktiviti luar sekiranya tidak perlu dan paling penting adalah sentiasa membawa ubat pam (mdi) ke mana-mana bagi persediaan sekiranya terkena serangan asma,” jelasnya yang bertugas di Hospital Seberang Jaya.

Bagi Dr. Rafidah Abdul Rahim beliau mengingatkan golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, wanita mengandung, warga emas, pesakit jantung dan respiratori agar mengelakkan aktiviti luar.

“Golongan berisiko ini mesti menggunakan topeng N95 agar lebih berkesan bagi menapis partikel udara tercemar jerebu ini.

“Selain itu orang ramai yang terdedah dengan aktiviti perlu kerap membasuh muka dan bahagian lain yang terdedah kepada jerebu untuk menjamin kebersihan,” jelasnya yang turut bertugas di hospital kerajaan.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD