Keadaan seperti biasa pada hari pertama pelaksanaan PKPB

HARI pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilihat berjalan seperti biasa di kebanyakan tempat khasnya di premis-premis awam di Seberang Perai.

Tiada pertambahan ketara daripada segi jumlah kenderaan di sepanjang jalan raya khususnya jalan-jalan utama di kawasan Seberang Jaya dan Perai menghala ke Jambatan Pulau Pinang termasuk pada waktu puncak.

Pematuhan SOP di premis makanan adalah baik.

Beberapa anggota penguatkuasaan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bertindak mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi di Seberang Perai.

Selain itu, sekatan jalan raya juga turut dilakukan di pintu masuk antara Pulau Pinang dan Kedah bagi mengawal pergerakan keluar atau masuk kenderaan ke negeri ini.

Dalam pada itu, tinjauan Buletin Mutiara di beberapa pasar awam, taman rekreasi serta pasar raya mendapati keadaan kekal terkawal dengan pengunjung dilihat sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Di Pasar Awam Seberang Jaya contohnya kelihatan pengunjung sentiasa mematahi SOP yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, melakukan saringan suhu badan serta mengekalkan jarak fizikal satu meter.

Kelihatan juga pegawai dan anggota penguatkuasaan pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sedang menjalankan pemantauan sejak awal pagi untuk memastikan pengungjung sentiasa mematuhi SOP.

Sebahagian besar pasar awam juga hanya menyediakan satu pintu masuk dan satu pintu keluar sahaja bagi megawal jumlah kemasukan pengunjung sekaligus mengelakkan kesesakan.

Beberapa taman rekreasi awam seperti Taman Tunku di Seberang Jaya dan Robina Eco Park dekat Teluk Ayer Tawar pula dilihat sedikit lengang berbanding kebiasaanya dengan hanya beberapa orang sahaja dilihat melakukan aktiviti riadah seperti berjalan dan berjoging.

Selain itu, tinjauan Buletin Mutiara ke beberapa pasar raya seperti Tesco, Mydin Mall dan Sunway Carnival Mall mendapati bahawa operasi di pusat membeli-belah berkaitan berjalan seperti biasa, walaupun mencatatkan jumlah kehadiran pengunjung lebih rendah.

Malah, bekalan keperluan harian seperi beras, roti, sayur-sayuran, ayam, ikan dan lain-lain masih mencukupi dengan harga yang ditawarkan juga masih berpatutan.

Sebahagian besar premis makanan termasuk restoran makanan segera di Seberang Perai tetap dibuka untuk perniagaan tetapi dengan pelaksanaan SOP yang ketat walaupun jumlah pengunjung dilihat sedikit berkurangan.

Taman rekreasi awam agak lengang.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan mengumumkan pelaksanaan PKPB di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan selama sebulan mulai 9 November hingga 6 Disember depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, langkah itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 7 Novermber lalu selepas mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kes Covid-19 di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS