Keahlian Lembaga Rayuan Negeri tidak libat ahli politik

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Setelah lebih 20 tahun ditubuhkan, akhirnya atas inisiatif khas Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR), sebuah dewan persidangan khas disediakan di Tingkat 57, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) untuk Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Negeri, Zainuddin Ahamad berkata, Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang di bawah JPBD yang ditubuhkan pada tahun 1985 adalah yang pertama di Malaysia sebaik Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) diterimapakai di negeri ini.

Jelasnya, dari tempoh tersebut hingga kini, Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang telah mengendalikan lebih 476 kes iaitu yang terbanyak dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia.

“Alhamdulillah, akhirnya Kerajaan Negeri menyediakan sebuah ruang khusus untuk pengendalian perbicaraan kes-kes yang lebih selesa dan sempurna.

“Malah, kini Lembaga Rayuan turut mengorak langkah ke hadapan dengan membina laman sesawang lebih mesra pengguna di mana orang ramai boleh mengakses atau membuat aduan melalui e-Rayuan yang akan berfungsi sepenuhnya pada Januari 2013,” ucapnya pada Majlis Perasmian Dewan Persidangan Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Lembaga Rayuan Pulau Pinang adalah antara Lembaga Rayuan yang aktif di Malaysia. Sejajar dengan kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang pesat membangun, Kerajaan Negeri telah menyediakan ruang operasi di Tingkat 57, Komtar bagi memberi kemudahan kepada orang awam.

Tambah Zainuddin, Lembaga Rayuan yang merupakan sebuah badan berkecuali ditubuhkan Pihak Berkuasa Negeri berfungsi sebagai quasi-judicial yang bertanggungjawab mendengar, mempertimbang dan membuat keputusan bagi kes-kes rayuan kebenaran merancang seperti diperuntukkan dalam Akta 172.

“Keahlian Lembaga Rayuan kini berbeza kerana tidak  melibatkan mana-mana ahli politik seperti diamalkan kerajaan terdahulu. Malah, keahliannya turut melibatkan jurutera, arkitek, hakim, penilai, peguam dan pensyarah yang dilantik sebagai ahli lembaga,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir menyempurnakan majlis tersebut berkata, inisiatif yang dilaksanakan merupakan kayu pengukur kejayaan sesebuah negeri yang bukan hanya bergantung kepada kepesatan pembangunan, tetapi penyertaan orang awam dalam hal ehwal pentadbiran dan awam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain; Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Exco Perancang Bandar & Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai dan Pengerusi Lembaga Rayuan Negeri, Datuk Yeo Yang Poh yan juga merupakan bekas Pengerusi Majlis Peguam Negara.

Pada majlis sama, Ketua Menteri turut merasmikan Buletin  Rayuan Negeri Pulau Pinang terbitan JPBD yang merupakan koleksi kes-kes edisi ke-4 penerbitan berkenaan.

SEBAHAGIAN Ahli-ahli Lembaga Pengarah Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang bergambar bersama-sama Ketua Menteri dan barisan kepimpinan negeri pada Majlis Perasmian Dewan Persidangan Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
SEBAHAGIAN Ahli-ahli Lembaga Pengarah Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang bergambar
bersama-sama Ketua Menteri dan barisan kepimpinan negeri pada Majlis Perasmian
Dewan Persidangan Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.