Kebajikan OKU UPSR perlu perhatian Menteri

Admin
SEORang pelajar menunjukkan kebolehan menggunakan komputer bersempena majlis interaksi bersama ketua Menteri di sini baru-baru ini.
SEORANG pelajar menunjukkan kebolehan menggunakan komputer bersempena
majlis interaksi bersama ketua Menteri di sini baru-baru ini.

BUKIT MERTAJAM Tuntutan masa tambahan selama 30 minit bagi kertas peperiksaan Matematik Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) khusus untuk pelajar orang kurang upaya (OKU) penglihatan akhirnya dipanjangkan ahli keluarga golongan berkenaan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.

Mereka (ahli keluarga) mendakwa, masalah kebajikan anak-anak pihak berkenaan telahpun beberapa kali dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran sebelum ini, namun, tidak mendapat reaksi positif.

“Apa yang pelajar lain boleh buat, mereka ini (pelajar OKU penglihatan) pun boleh buat, cuma mereka ini seakan dipinggirkan kalau tiada keprihatinan daripada kita.

“Biasanya, kementerian akan tujukan semua masalah ini kepada kita (keluarga), tetapi ini adalah tidak adil,” kata Alvin Teoh, 41, bapa kepada Ernest Teoh, 11, di Kompleks Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), di sini baru-baru ini.

Kira-kira 10 pelajar OKU, tidak termasuk waris mereka masing-masing hadir pada majlis interaksi dengan Guan Eng. Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, (MPSP ) Maimunah Mohd. Sharif dan Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rozali Mohamud.

Bersempena majlis tersebut, Ketua Menteri telah mengumumkan sumbangan RM600 (setiap seorang pelajar) demi menyemarak semangat belajar dalam kalangan pelajar OKU berkenaan.

Difahamkan, tempoh 50 minit diberikan kepada pelajar normal bagi menjawab kertas peperiksaan Matematik UPSR. Manakala, pelajar OKU pula diberi masa tambahan 30 minit, menjadi satu jam 20 minit bagi kertas peperiksaan yang sama.

Pun begitu, Alvin berkata, masa tambahan itu tidak cukup untuk pelajar OKU memahami rajah pada kertas peperiksaan yang menggunakan tulisan braille.

Guan Eng dalam reaksi spontan berkata, kementerian yang diterajui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya peka pada masalah pelajar OKU sungguhpun populasi golongan istimewa tersebut sangat minoriti di tanah air ini.

“Kita harap mereka (kementerian) boleh faham. Saya rasa tidak ada orang yang menentang jika tambah 30 minit lagi.

“Malah, saya rasa permintaan ini adalah wajar atas perikemanusian,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan.