KEBAKARAN di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang terjadi pada 12 Januari lepas serta membawa kepulan asap di kawasan sekitar menjadi antara cabaran yang begitu menguji kecekapan Kerajaan Negeri dan juga pasukan keselamatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) di negeri ini.
Selain pemindahan penduduk dan penutupan sekolah-sekolah ekoran pencemaran udara yang berlaku, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow turut mengumumkan sumbangan tunai bernilai RM1,000 masing-masing kepada isi keluarga yang terjejas.
Malah, dalam pengumuman pada 24 Februari lalu, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sedang menjalankan proses penelitian penamatan kontrak syarikat konsesi tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang dijangka tamat pada 5 April ini selepas pemberian penambahan masa (EOT).
Keputusan itu dibuat melalui dua mesyuarat Exco baru-baru ini setelah Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) membentangkan laporan-laporan berkaitan sebelum ini.
“Pihak MBSP kini sedang menyediakan garis masa sekiranya kontrak ini ditamatkan, malah (MBSP) juga menyediakan garis masa untuk mengoperasikan tapak pelupusan tersebut secara interim (sementara) sebelum sebuah syarikat, mungkin dengan teknologi baharu dilantik.
“Serentak itu, notis juga telah disampaikan kepada syarikat berkenaan tentang niat dan tujuan ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa kebakaran di Pulau Burung yang berlaku pada 12 Januari 2022 hingga 1 Februari 2022 telah berjaya dipadamkan sepenuhnya.
“Kerja-kerja tambakan tanah oleh syarikat konsesi masih diteruskan dan bahagian-bahagian yang berkenaan telah ditutup dengan tanah-tanah merah. Kerja-kerjaberkaitan akan diteruskan di semua kawasan atas tapak pelupusan,” ulasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.
Pada hari kejadian, panggilan kecemasan diterima pada jam 5:12 petang dan tepat 5:26 petang pasukan Bomba dari Nibong Tebal sampai ke kawasan tersebut.
Penguasa Kanan Bomba II (PgKB), NORHAIRUDDIN NORAIDIN antara yang tiba ke tempat kejadian pada malam tersebut untuk memantau dan mengkaji kaedah sesuai
mengawal kebakaran.
Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurufoto, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR dan NOOR SITI NABILAH NOORAZIS baru- baru ini sempat menemuramah Norhairuddin mengenai pengalaman beliau mengawal kebakaran berskala besar tersebut.
“Hari pertama saya datang untuk tengok laporan, keadaan pada masa itu api marak dibantu pula dengan tiupan angin kencang dan juga ditambah dengan letupan-letupan akibat pembuangan tin aerosol dan sebagainya.
“Dalam keadaan tersebut, saya memanggil semua anggota untuk turun semula ke bawah, kerana bagi saya keselamatan adalah nombor satu, saya tidak mahu ada kecederaan dan kehilangan nyawa.
“Ketika itu juga, pasukan saya mencerap ukuran dari segi keluasan kawasan bagi memudahkan tindakan susulan serta mencongak strategi sesuai,” jelasnya yang berkhidmat di Pulau Pinang kira-kira 12 tahun.
Walaupun skop kebakaran agak besar (11 hektar) berdasarkan taklimat Ketua Balai Nibong Tebal, Norhairuddin memberitahu bahawa pasukannya dilihat seakan-akan
tidak panik memandangkan tidak melibatkan nyawa manusia.
Pemadaman berjaya, tindakan dikuat kuasa.
Strategi ‘firebreak’
Memasuki hari kedua, Norhairuddin memberitahu bahawa tapak yang terbahagi kepada tiga fasa itu dipecahkan kepada enam sektor untuk dilakukan pemecahan atau
dipanggil firebreak.
“Kalau boleh, kami tidak mahu sektor enam terbakar, sekiranya terjadi maka ia akan lebih memakan masa untuk memadamkan kebakaran.
“Lepas itu kebakaran di sektor 1, 2, dan 4 nampak berjaya dikawal sehinggalah masuk hari keempat.
“Selepas berjaya mengawal kebakaran melalui firebreak, barulah anggota kami fokus untuk melawan api iaitu memadamkan kebakaran sehingga ke bawah tanah,” ujar anak jati Bandar Jengka, Pahang itu lagi.
Bercerita lanjut mengenai firebreak, jelas Norhairuddin, kaedah tersebut memerlukan pengorekan lubang sebelum ditimbus semula menggunakan tanah bagi mengelakkan perebakan api.
“Situasi kebakaran di tapak pelupusan agak berbeza kerana terdapat lima lapisan timbunan sampah di tapak tersebut yang mampu terbakar dari dalam.
“Dianggarkan, setiap baris firebreak memerlukan sehingga 70 timbunan lori tanah untuk menghalang api dari merebak dan kaedah ini juga mengurangkan
oksigen daripada sampai kepada sumber pembakaran, sekali gus memudahkan pemadaman api dilakukan.
“Lapisan sampah dan tanah itu sedikit menyukarkan, kita tengok ada netizen pun sudah mula bising, pertikai kenapa tidak padam api macam ini, macam itu, kita pantau semua itu, namun saya anggap mungkin mereka tidak faham tugas kami,” katanya sambil berseloroh.
Selesai membuat firebreak, Norhairuddin memberitahu bahawa pihaknya mula menempatkan jentera bomba berdekatan lokasi kebakaran untuk melaksanakan misi
pemadaman.
Dalam pada itu, Norhairuddin yang juga lulusan Sarjana Muda Komunikasi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Bomba dari negeri Kedah, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan yang turut sama membantu.
‘Kaedah Pemadaman Lain’
Di samping itu, Norhairuddin menyatakan bahawa kaedah lain yang digunakan oleh pihak bomba bagi memadam kebakaran adalah menerusi kaedah ‘water bombing’
menggunakan helikopter.
“Kaedah ini lebih baik daripada kaedah semburan menggunakan pesawat, kerana ‘bombing’ ini ia meresap jauh ke dalam tanah.
“Kalau guna pesawat, api di atas mungkin padam namun di bawah masih terbakar, ibarat sekam padi.
“Pada masa sama, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi-agensi lain yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung,” ulasnya.
Kekuatan Anggota
Secara keseluruhan, difahamkan seramai 40 anggota bomba bertugas sepenuh masa dalam satu hari dan dipecahkan kepada tiga syif.
Anggota bertugas pada waktu malam lebih kepada membentuk pertahanan, manakala di waktu siang, lebih offensive iaitu memadamkan kebakaran.
Norhairuddin memaklumkan bahawa pada hari ketujuh barulah kelihatan titik-titik panas juga semakin berkurangan, hasil pemantauan oleh pihak JAS.
Cabaran
Selain itu, Norhairuddin turut berkongsi cabaran sepanjang operasi memadam kebakaran yang sebenarnya di luar kawalan bomba sendiri; seperti faktor cuaca panas.
“Kalau lihat semula, sepanjang tempoh kejadian, memang cuaca pans dan tiada hujan di kawasan terbabit ditambah pula tiupan angin kencang.
“Ada pun mungkin satu hari, namun tempoh yang singkat dan kadar yang sedikit menjadikan ia tidak membantu.
“Mungkin ramai bertanya kenapa tidak adakan pembenihan awan.
“Proses ini bukanlah mudah, kena kaji bentuk awan bagi membuahkan hasil, kalau tidak ia tidak menjadi, kita pun bimbang kalau awan ditolak angin akan berlaku pula hujan di tempat lain,” maklumnya.
Pemadaman berjaya
Sebagai rekod, tanggal 31 Januari 2022, kebakaran tersebut diisytiharkan tamat apabila 98 peratus daripada 11 hektar yang terbakar berjaya dipadamkan.
Namun, menurut beliau, sehingga 2 Februari 2022, pihak bomba terus menjalankan operasi pemantauan sekiranya masih ada sektor-sektor yang terbakar dan
mampu kembali mencetuskan kebakaran.
Respons Exco & ADUN
Dalam perkembangan berkaitan, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, PHEE BOON POH ketika memberi respons antara lain berkata, pihak Kerajaan Negeri turut memantau rapi dan memandang serius tentang kejadian tersebut.
“Pihak JAS Pulau Pinang ketika itu terus memantau bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di stesen Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram.
“Apa yang penting adalah udara di situ selamat untuk penduduk, tetapi selepas itu didapati bacaan tidak selamat maka mereka yang terjejas perlu dipindahkan.
“JAS juga pantau bagi memastikan tiada lagi titik panas yang boleh menyebabkan kebakaran di tapak berkenaan.
“Sehingga 7 pagi, 2 Februari 2022, bacaan IPU di kawasan itu menunjukkan paras sederhana iaitu 74,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.
ADUN Jawi, JASON H’NG MOOI LYE pula melalui hantaran Facebook turut memaklumkan bahawa pihaknya turut memantau kerja-kerja tanah di Pulau Burung secara berterusan sehingga 8 Februari lalu demi memastikan tiada lagi kebakaran yang berlaku.