Kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung berjaya dikawal sepenuhnya

Admin
img 20240724 wa0032

JAWI – Insiden kebakaran yang berlaku di Fasa 3, Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang berlaku pada jam 12 tengah hari, 21 Julai lalu telah berjaya dikawal sepenuhnya.

Pembantu Penguatkuasa (penyelia tapak) Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Suhaimi Abu Bakar berkata 80 peratus daripada kawasan yang mengalami kebakaran telah berjaya ditimbus menggunakan tanah merah.

“Baki 20 peratus lagi kawasan lereng bukit yang terbakar dijangka siap ditimbus sepenuhnya pada hari ini.

“Sebanyak 200 buah lori yang membawa 30 tan tanah merah telah digunakan untuk menimbus kawasan yang terjejas dengan kebakaran,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara dekat sini sebentar tadi.

img 20240724 wa0034
Suhaimi Abu Bakar.

Suhaimi berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan oleh pihak MBSP sehingga kini mendapati tidak ada lagi kebakaran telah dikesan sejak ia berjaya dipadam pada petang Ahad.

“Selain itu, kita juga tidak mengesan mana-mana kawasan yang berisiko terbakar setakat ini, namun pemantauan rapi masih akan dilakukan oleh kakitangan MBSP di sini.

“Sebuah tangki jumbo berkapasiti 11,000 liter air ditempatkan di sini sebagai persediaan sekiranya insiden kebakaran berulang,” jelasnya.

img 20240724 wa0028

img 20240724 wa0024

img 20240724 wa0020

Beliau berkata, kebakaran yang berlaku pada jam 12 tengah hari itu adalah berpunca daripada cuaca panas dan telah menjejaskan kawasan seluas kira-kira 3,500 meter persegi.

“Kebakaran di Fasa 3 adalah meliputi kawasan lereng bukit yang belum sempat ditimbus dengan tanah merah.

“Tambahan pula, sampah-sarap yang dibuang di sini adalah 100 peratus sampah kering dan jenis yang mudah terbakar.

“Justeru, apabila berlaku kebakaran kecil sahaja pun dan ditambah tiupan angin yang kuat telah menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat,” ujarnya sambil menambah bahawa kerja-kerja menimbus tanah merah telah dilaksanakan pada hari pertama kejadian kebakaran berlaku.

Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye dilaporkan berkata seramai 117 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan bomba sukarela dari sekitar Seberang Perai, termasuk 42 petugas MBSP, terbabit dalam operasi pemadaman itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi berkata MBSP akan mengambil langkah mengurangkan risiko berlaku kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung pada masa depan.

Beliau berkata, antara lain dengan meningkatkan pemantauan di kawasan lereng dan membuat penutupan sampah di kawasan aktif mengikut piawaian yang ditetapkan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR