Kebangkitan wanita, martabatkan perubahan

Admin

 

GEORGE TOWN – Bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang ke-101 lalu, Konvensyen Wanita Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang telah menganjurkan siri ceramah yang bertemakan ‘Kebangkitan Wanita, Martabatkan Perubahan’. Berikut adalah sedikit intipati teks ucapan Ketua Wanita PAS Pulau Pinang Ustazah Rahmah, yang bertajuk ‘Kesamarataan Peluang Dalam Pelajaran, Latihan, Sains dan Teknologi : Laluan Kerjaya Terpuji Untuk Wanita’ dalam pandangan wanita Islam.

Wanita mempunyai hak-hak yang sama dengan lelaki. Allah S.W.T menegaskan dalam al-Quran bahawa wanita adalah pelengkap bagi lelaki manakala lelaki juga adalah pelengkap bagi wanita. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

Sebenarnya wanita adalah saudara kandung bagi lelaki!”

Sesungguhnya dari maksud hadis tersebut jelaslah bahawa pada pandangan Islam tidak ada pengurangan atas hak-hak wanita ataupun kezaliman atas wanita demi kepentingan lelaki kerana Islam merupakan satu syariat Allah S.W.T yang diturunkan untuk lelaki dan wanita sekaligus tanpa pengecualian.

Oleh itu sebarang bentuk ketidakadilan ke atas wanita di dalam setiap aspek kehidupan amatlah ditegah dan bercanggah dengan ketentuan Ilahi. Apatah lagi amat besarnya peranan wanita yang mesti disempurnakan oleh wanita seperti kata-kata bijak pandai:

Seorang ibu ibarat sekolah. Apabila kamu siapkan dengan baik, bererti kamu menyiapkan satu bangsa yang harum namanya.”

Sehubungan itu bagi PR kita tawarkan beberapa program di dalam pelaksanaan agenda Dasar Bersama PR antaranya:

  • Menggubal akta bagi memastikan golongan wanita mendapat layanan yang adil dalam segenap bidang

  • Memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna Tenaga bagi wanita ke tahap 60% dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding 46% sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu

  • Memperuntukkan 30% perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan

  • Menangani segala bentuk keganasan terhadap wanita dan anak-anak dengan hukuman setimpal yang lebih berat dijatuhkan ke atas pesalah serta memastikan keberkesanan pusat krisis di setiap hospital dan balai polis

  • Memastikan kewujudan sistem sokongan dan bantuan seperti pusat penjagaan kanak-kanak dan sebagainya untuk ibu yang bekerja di pejabat kerajaan dan sektor swasta

  • Memberikan bantuan untuk meringankan beban keluarga ibu tunggal yang miskin dan memerlukan

  • Mengambil kira perspektif gender dalam merangka belanjawan dan dasar-dasar negara

  • Memperkenalkan program kepekaan jantina ke dalam kurikulum sekolah

  • Mengiktiraf peranan suri rumah di dalam pengkukuhan institusi keluarga dan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat dan negara

Sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka berusaha mengubahnya ke arah reformasi kehidupan yang lebih baik sama ada dalam aspek keagamaan, pendidikan, perundangan, ekonomi, politik, pekerjaan, keluarga dan sistem jaringan sokongan kehidupan ini.

Marilah kita bersama-sama berganding bahu melaksanakan perubahan ini. InsyaAllah tangan yang lembut yang menghayunkan buaian dapat menggegarkan dunia.