Kebenaran penyokong saksikan perlawanan di Stadium Bandaraya suntik semangat skuad Harimau Kumbang – Exco 

Admin

GEORGE TOWN – Buat julung kalinya, peminat bola sepak di negeri ini dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Bandaraya melibatkan saingan Liga Super 2021 antara Penang FC dan Sabah FC pada 11 April 2021.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, hanya 2,000 penyokong dibenarkan hadir ke stadium iaitu kira-kira 10 peratus daripada kapasiti penuh Stadium Bandaraya seperti ketetapan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini. 

“Walau bagaimanapun, penyokong yang hadir perlu memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan dipatuhi.

 

“Antaranya pembelian tiket hanya dilakukan secara dalam talian dan setiap individu dibenarkan membeli dua keping tiket sahaja serta tidak boleh berpindah milik. 

“(Dan) jualan tiket secara dalam talian akan dibuka mulai hari ini (8 April) sehingga 11 April 2021 jam 3:00 petang,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pagi ini. 

 Hadir sama, Pengurus Interim Penang FC, Muhammad Al-Hafiz Rezal dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Penang FC.

Difahamkan selain pembelian tiket secara dalam talian, penyokong yang hadir perlu membuat imbasan kod QR dan saringan suhu badan. 

Seramai 20 Sukarelawan Belia Pulau Pinang dan lima Sukarelawan Sports Bubbles ditugaskan bagi pemantauan SOP. 

Dalam pada itu, Lip Chee berharap dengan penyokong di Stadium Bandaraya akan menyuntik semangat skuad Harimau Kumbang menentang Sabah FC nanti. 

Tiket boleh didapati di pautan, https://tickethotline.com.my/

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : EXCO